Tengku Azizan Tengku Ahmad - dari pemain bolasepak Piala Malaysia kepada bapa Ride & Handling Proton

oleh HEZERI SAMSURI|
Kepada yang mengikuti perkembangan Proton, nama YM Tengku Azizan Tengku Ahmad pasti pernah didengari.

Namun begitu, tidak ramai yang mengenali siapa di sebalik nama tersebut dan sikapnya yang suka tersenyum dan merendah diri menjadikan beliau antara individu yang paling disukai ramai.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebenarnya, jarang kami dapat menemuramah Tengku Azizan ini kerana ayah kepada dua orang cahaya mata ini memang seorang yang pemalu.

Namun bila di belakang stereng, kecekapan pemanduan beliau tidak dapat disangkal. Beliau mampu membuatkan kenderaan itu menurut setiap kemahuan beliau.

Paling penting, sebagai seorang jurutera, beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengubah sebuah kenderaan yang mempunyai pengendalian umpama tongkang haram kepada sebuah jentera yang seronok dipandu.

Careta dapat duduk selama beberapa jam dengan Tengku Azizan dan mengenali dengan lebih lanjut siapa legenda di sebalik pengendalian atau Ride and Handling (R&H) kenderaan Proton yang disegani di seluruh dunia itu.

Dilahirkan di Chuping, Perlis, Tengku Azizan Tengku Ahmad akan berusia 63 tahun bulan September ini namun beliau nampak jauh lebih muda dari usianya. 

Memulakan persekolahan beliau di Sekolah Rendah Kebangsaan Chuping, Tengku Azizan kemudian menyambungkan pengajian di sekolah berasrama penuh Datok Abdul Razak (SDAR) di Tanjung Malim. Selepas setahun, sekolah itu berpindah ke Seremban.

Selepas SDAR, Tengku Azizan terus memohon untuk menyambungkan pelajaran di bidang Kejuruteraan Mekanikal di ITM Shah Alam.

Semasa temuduga, beliau diberitahu tiada kekosongan di dalam jurusan tersebut. Tengku Azizan berkata jika tiada kekosongan, beliau tidak mahu belajar dan terus bergegas meninggalkan bilik temuduga.

Mungkin rezeki beliau, salah seorang Profesor yang menemuduga beliau keluar mencari Tengku Azizan dan bertanyakan adalah Tengku serius untuk belajar di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Tengku Azizan bertegas menjawab ia dan jika tidak ada kekosongan, beliau sanggup balik dan bermain bola.

Sebenarnya, Tengku Azizan juga adalah legenda bolasepak di Proton dan sebabnya sangat mudah - Tengku Azizan pernah menjadi pemain Piala Malaysia.

Semasa di SDAR, beliau menjadi pemain bolasepak wakil Negeri Sembilan di dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah.

Tamat sekolah, beliau terus bermain untuk pasukan negeri Perlis dan mewakili negeri tersebut. Beliau ialah antara pemain termuda di dalam negara ketika itu yang bermain di dalam Piala Malaysia.

Berbalik kepada ITM, Profesor tersebut bersetuju memberikan Tengku Azizan peluang untuk belajar dan memasukkan beliau ke dalam kursus Kejuruteraan Mekanikal.

Di ITM, Tengku Azizan terus bergit di dalam sukan bolasepak dan tergolong di dalam kelompok elit pelajar ITM yang pernah bermain di dalam Piala Malaysia.

Tengku Azizan terus bermain bola untuk ITM sehingga tamat belajar dalam tahun 1979.

Selepas mendapatkan Diploma beliau, Tengku Azizan memulakan karier beliau sebagai pembantu jurutera menjaga 120 buah bas ekspress Mara di depot bas Mara di Keramat.

Semasa itu, Tengku Azizan terus bermain bolasepak dan kali ini beliau bermain untuk Mara.

"Rakan baik saya semasa itu ialah Khalid Ali, abang kepada Zainal Abidin Hassan," terangnya. Bercahaya mata Tengku Azizan apabila bercerita tentang bolasepak.

Pada tahun 1980, Tengku Azizan ditarik keluar dari menjaga depot bas dan ditempatkan di ibupejabat Mara. 'Semasa itu, kerja saya sebenarnya sebagai pemain bola sahaja sebenarnya!"

Karier beliau di dalam bolasepak terus berkembang maju dan dalam tahun yang sama, Tengku Azizan bermain untuk pasukan Wilayah Persekutuan.

"Ia adalah pasukan pertama untuk Wilayah Persekutuan dan saya bermain bersama Khalid Ali, Rashid Hassan dan midfielder terbaik Asia ketika itu, Wong Chun Wah," sambung Tengku Azizan.

Namun begitu, rupanya arwah ibunya tidak begitu bersetuju dan percaya Tengku Azizan sepatutnya menyambungkan pelajaran.

"Ketika itu, saya memang sudah mensasarkan diri saya untuk menjadi pemain negara."

Tengku Azizan percaya beliau sudah sampai ke "pintu" pasukan kebangsaan ketika itu kerana nama beliau sudah disebut-sebut oleh semua untuk menjadi pemain mewakili negara.

Dalam bulan Julai 1981, Tengku Azizan bermain mewakili pasukan KL All Star menentang pasukan Southampton dari UK. "Dapatlah merasa bermain menentang Kevin Keegan," katanya sambil tersenyum.

Itulah perlawanan terakhir Tengku Azizan sebagai pemain bolasepak peringkat tinggi kerana selepas itu beliau menurut nasihat ibunya untuk menyambungkan pelajaran.

"Khalid Ali datang menghantar saya ke lapangan terbang dan berkata saya patut pergi menyambungkan pelajaran kerana diberi peluang," Tengku Azizan berkata dengan nada yang memang cuba menyembunyikan perasan sedih beliau.

Tengku Azizan menyambungkan pelajaran beliau di dalam jurusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Northrop University di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Belajar di bawah tiket Mara, Tengku Azizan pulang membawa segulung ijazah selepas dua setengah tahun di sana.

"Saya membeli kereta pertama saya semasa belajar di US. Walaupun ia bukan milik penuh saya kerana berkongsi membeli Ford Maverick dengan rakan-rakan, ia adalah kali pertama saya mengeluarkan duit untuk sebuah kenderaan," cerita Tengku Azizan. 

Rupanya ketika di Malaysia, Tengku Azizan tidak pernah ada kenderaan.

"Saya pergi kerja atau latihan bolasepak menaiki bas awam sahaja. Bas Mini itu sahabat baik sayalah," katanya.

Pulangnya beliau di Malaysia, Tengku Azizan masih menyimpan hasrat untuk bermin bola dengan mana-mana pasukan.

"Saya pergi ke Lake Garden (Taman Tasik) untuk memerhatikan pasukan-pasukan bola melakukan ujian senaman dan latihan."

Tengku Azizan juga terfikir, dengan syarikat mana beliau hendak bekerja. Dan arwah ibunya masih mahu beliau mencari profesion yang baik.

"Ada syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada saya ketika itu tetapi semuanya mahu saya menjadi pemain bolasepak untuk mereka sebenarnya."

Ketika itu, Wilayah Persekutuan memang mencari seorang untuk menggantikan pemain seperti Azizul Abu Hanifa dan nama Tengku Azizan memang disarankan oleh ramai kepada pasukan Wilayah Persekutuan.

"Saya dipanggil untuk temuduga oleh Tan Sri Elyas. Semasa sesi itu, ada tiga orang ditemuduga dan saya menantikan giliran saya ialah yang terakhir."

"Semasa menunggu, hati saya rasa tidak tenang, dan saya tahu ibu akan kecewa dan marah sekiranya saya terus bermain bola sepak."

Semasa giliran calon kedua sedang ditemuduga oleh Tan Sri Elyas, Tengku Azizan bangun dan meninggakan pejabat tersebut dan tidak memandang ke padang bola lagi.

Tengku Azizan memohon pekerjaan dengan Proton dan beliau dipanggil untuk temuduga.

"Semasa temuduga, saya ditanya adakah saya ini serius untuk bekerja kerana "pemain bolasepak sering tidak serius dalam karier" dan saya dikatakan hanya mahu ke Jepun bersama Proton dan bermain bola sepak di sana, kata salah seorang yang menemuduga saya."

Tengku Azizan berkeras berkata jika beliau tidak bermain bolasepak secara profesional, beliau mahu bekerja dalam bidang automotif.

 

 

Mungkin kerana nampak akan disiplin dan kecekalan Tengku Azizan, beliau diterima masuk ke Proton dalam tahun 1984.

Tengku Azizan terus dihantar ke Jepun untuk latihan bersama Mitsubishi Motors Corporation di bahagian R&D.

"Pada masa itu, Mitsubishi tidak berapa mahu orang asing masuk ke bahagian R&D mereka tetapi Tun Mahathir yang pada ketika itu Perdana Menteri negara memintak Mitsubishi untuk mengambil sekurang-kurangnya dua orang Malaysia agar dilatih di dalam bidang R&D.

"Mitsubishi mengalah, tetapi hanya mengambil seorang sahaja untuk dilatih di dalam bahagian R&D, iaitu saya."

Maka Tengku Azian terus berhijrah ke Pekan Okazaki berhampiran bandaraya Nagoya dan bekerja di pusat R&D Mitsubishi.

"Saya mengalami masalah kemurungan di sana kerana terlalu sunyi. Saya memang tidak ada kawan kerana saya seorang orang asing di sana."

Tengku Azizan berjumpa dengan doktor dan doktor berkata ini adalah satu penyakit mental. Tengku Azizan perlu memecahkan kebuntuan tersebut.

Apa yang Tengku Azizan lakukan seterusnya memang telah diagak. Beliau mencari pasukan bola sepak Mitsubishi dan bertanya adakah beliau boleh bermain bersama mereka.

Pasukan bolasepak itu terus mencemuh beliau dan berkata badan sekecil ini tidak layak untuk bermain bola.

Oleh kerana Tengku Azizan berkeras mahu bermain, pasukan itu bersetuju untuk mengadakan satu perlawan bersahabatan dan Tengku Azizan diajak bermain.

Seorang pemain bolasepak veteran di bandar tersebut dipanggil untuk menjadi hakim samada Tengku Azizan layak atau tidak untuk bermain di dalam pasukan itu.

Selepas tamat bermainan, pemain veteran itu berkata pasukan bolasepak Mitsubishi patut membayar Tengku Azizan untuk bermain bagi pasukan mereka kerana ternyata taraf kebolehan Tengku Azizan sudah melampaui taraf pasukan novis itu.

Maka setiap kali habis waktu bekerja, Tengku Azizan akan turun padang bermain bolasepak. Pada hujung minggu, Tengku Azizan akan mengajar kanak-kanak di kawasanitu untuk bermain bolasepak.

Selepas setahun, Tengku Azizan menjadi sangat popular dan artikel mengenai beliau pernah ditulis di dalam penerbitan bulanan untuk badar Okazaki.

Semasa di R&D Mitsubishi, Tengku Azizan diberikan fokus dalam bidang menghasilkan bamper.

"Semasa itu Proton Saga menggunakan bamper besi yang direka khas untuk Saga yang diasaskan dari model Mitsubishi Lancer Fiore."

"Enjin Saga itupun ditukar ke enjin lain dengan piawaian UK kerana Saga itu sudah sejak dari awal direka untuk pasaran UK."

"Saya akhirnya pulang ke Malaysia dalam tahun 1985 selepas Saga dilancarkan."

 

 

Dalam tahun 1987, Tengku Azizan dihantar ke UK pula untuk membantu menyediakan Proton bagi homologasi model itu agar ia dapat diimport masuk ke UK.

"Di UK ketika itu sudah ada National Type Approval atau NTA," terang Tengku, dan Proton Saga perlu mematuhi spesifikasi yang ada di sana agar ia dibenarkan memasuki pasaran.

Sekembalinya ke Malaysia, Tengku Azizan terus menubuhkan bahagian R&D dan ujian produk walaupun pihak Mitsubishi tidak begitu gemarkan idea itu.

"Pada mereka, semua kerja-kerja penyelidikan dan ujian perlu dilakukan di Jepun," kata Tengku Azizan. 

Namun Tengku Azizan teruskan juga dan pada tahun 1988, terbitlah bahagian R&D dan ujian produk yang kecil pada masa itu.

"Pada masa itu, ia tidak layak dipanggil unit bahagian pun. Ia dipanngil R&D Corner sahaja," Tengku Azizan mengimbau zaman-zaman awal Proton.

"Sekarang, Proton mempunyai unit R&D dan ujian produk yang paling lengkap di rantau ini."

Sememangnya Tengku Azizan melihat pembangunan Proton dari kecil sehingga ke sekarang.

Itulah dia Tengku Azizan, seorang yang tidak suka hanya duduk di pejabat tetapi seorang pemimpin yang gemar turun padang.

Nantikan bahagian kedua artikel ini di mana Careta menyingkap asal-usul bagaimana Tengku Azizan berjaya menjadikan Ride and Handling atau pengendalian sebagai salah satu karektor terbaik Proton.

* Artikel ini dikemaskini dari artikel asal yang ditulis oleh Hezeri Samsuri dua tahun lalu. Ia pernah dimuatnaik ke laman web Careta dahulu tetapi hilang semasa pelayan Careta digodam empat tahun dahulu.

 

Berita Berkenaan

Informasi
Empat model Proton diberikan kepada Tengku Azizan dan menurut beliau, walaupun ada yang beliau rasa…
Informasi
Kali ini, kami kongsikan sejarah bagaimana Proton menjadi pakar di dalam pengendalian kenderaan,…