Tender projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dibuka 2 bulan Lagi

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang diluluskan dalam Belanjawan 2023 akan dibiayai oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan tender akan dibuka dua bulan lagi.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau telah mengadakan lawatan ke LTAPP dan mendapati terdapat keperluan mendesak untuk projek itu disiapkan segera.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Fasa pertama projek pembesaran ini akan dibuka tender dalam dua bulan lagi oleh MAHB supaya kerja-kerja binaan boleh bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun.

 

"Setelah siap nanti, kapasiti penumpang akan dinaikkan kepada 12 juta setahun, berbanding 6.5 juta setahun sekarang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Pulau Pinang pada Rabu.

 

Loke berkata kerajaan berpendapat MAHB mampu membiayai projek pembangunan itu kerana LTAPP merupakan lapangan terbang yang menguntungkan.

 

"Kos akan ditanggung oleh MAHB dalam mekanisme kewangan yang akan dipersetujui antara MAHB dan Kementerian Kewangan. Jadi saya tidak akan menyebut kos projek ini kerana ia akan dilakukan melalui tender terbuka, kalau sebut kos nanti semua pihak akan masuk tender mengikut kos itu," jelasnya.

 

Loke berkata LTAPP merupakan lapangan terbang yang ketiga paling sibuk di Malaysia dan kali terakhir dinaik taraf adalah pada 2013.

 

"Projek pembesaran LTAPP ini tidak akan melibatkan pengambilan tanah sekolah, tiada tambak laut dan kos keseluruhan dibiayai oleh MAHB," katanya.

 

Sementara itu, ketika ditanyai mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Loke berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan lesen aerodrome atau lapangan terbang kecil.

 

"Mereka telah membentangkan projek itu kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara dan sebagainya tetapi kalau proses-proses itu sudah mendapat kelulusan, langkah seterusnya adalah mendapatkan kelulusan untuk memohon lesen aerodrome...itu belum sampai," katanya.

 

Terdahulu, Loke melawat LTAPP, terminal feri dan Penang Sentral selain melakukan kunjungan rasmi ke pejabat Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

 

- Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
  "Kami menerima banyak aduan mengenai kesesakan ini. Oleh itu kami merasa amat gembira kerana…
Berita Domestik
  Dalam video tersebut, pintu masuk di bahagian balai ketibaan dinaiki air separas buku lali. …