Tempat wajib dilawati: Muzium Jimny di Jepun!

oleh Mohamad Hanif|
Sekiranya anda diberikan peluang untuk melawat Jepun selepas wabak coronavirus reda, pastikan tempat yang kami cadangkan ini dimasukkan ke dalam itinerari anda.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana lokasi ini boleh dikatakan sebagai sebuah muzium koleksi model-model SUV off-road 4WD Suzuki Jimny yang diusahakan oleh Shigeru Onoue, pengasas Apio yang merupakan pakar penghasilan komponen aftermarket Jimny. 

Melihatkan kepada koleksi yang dipamerkan, tidak menghairankan apabila Shigeru Onoue juga turut dinobatkan sebagai ketua kepada komuniti Jimny di Jepun. 
 


Bangunan muzium Jimny yang terletak di Yoda, Fujisawa di Wilayah Kanagawa itu mempunyai kira-kira 30 buah Jimny serta turut menempatkan model HopeStar Type ON 4WD yang merupakan model asas sebelum kelahiran Jimny yang sebenar. 

Menariknya, HopeStar Type ON ini dibangunkan oleh Hope Motor Company (dimiliki oleh Suzuki) dengan menggunakan enjin dua lejang daripada Mitsubishi yang menghasilkan 21 kuasa kuda. 
 


Sehingga kini, hanya 18 unit HopeStar Type ON 4WD dibina di mana 15 daripadanya datang dengan enjin Mitsubishi dan selebihnya menggunakan enjin Suzuki, menjadikannya satu model yang sangat 'rare'. 

Di sini, anda boleh mempelajari segala susur galur model Jimny yang pernah diproduksikan, malah Onoue juga turut menyediakan dua buah pameran casis sebenar Jimny yang menampilkan casis ladder frame, sistem 4WD low range, serta gandar solid hadapan dan belakang. 
 


Sementara itu, ditingkat kedua menampilkan barisan Jimny serba baharu, termasuklah jentera JB23W yang digunakan untuk menyertai Mongolian Rally sebanyak tiga kali. 

Ya, selain daripada mengusahakan Apio, Onoue juga sebenarnya merupakan pemandu rali yang berpengalaman, serta pernah bertanding sebanyak tujuh kali di dalam Australian Safari Rally dan Paris-Dakar (sembilan kali)!
 


Menurut Japanese Nostalgic Car, Muzium Jimny ini dibuka dari hari Khamis sehingga Ahad dan ditutup pada musim cuti dengan yuran kemasukan hanyalah sekitar ¥1,000 (RM40++) sahaja. 

Untuk ke sana, anda boleh mendapatkan perkhidmatan keretapi dan turun di stesen keretapi Shonandai, dan jarak antara stesen ini dengan muzium adalah kira-kira 15 minit sahaja menggunakan kereta. 
 




Sumber: Japanese Nostalgic Car
Sumber Gambar: TripAdvisor