Tempat duduk khas untuk kanak-kanak diwajibkan bermula 2020

oleh Shahrim Tamrin|
Harapan dan doa aktivis keselamatan untuk kanak-kanak akhirnya termakbul berikutan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan hari ini bahawa penggunaan kerusi keselamatan untuk kanak-kanak dan tempat khas untuk bayi di dalam kereta persendirian akan diwajibkan bermula 2020.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sambil menyatakan bahawa kerajaan berazam untuk terus meningkatkan langkah keselamatan jalan raya di negara ini, Loke menyatakan langkah-langkah pendidikan dan pendedahan untuk orang ramai terutamanya ibu bapa akan dijalankan tidak lama lagi.

"Kami akan bermula dengan advokasi awal tahun hadapan dan kami mahu memupuk kesedaran kepada orang ramai sepanjang tahun," kata Loke pada sidang akhbar selepas berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya pada tengahari tadi.
 


Menurutnya pihak Kementerian telah mengkaji mengenai sistem keselamatan kanak-kanak sejak beberapa bulan lalu selepas meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk melakukan kajian menyeluruh sejak Mei.

Apabila ditanya sama ada harga kerusi kanak-kanak dapat diturunkan untuk ibu bapa, Loke berkata Kementerian telah menghantar cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk memberi pengecualian cukai bagi aksesori peralatan untuk kanak-kanak agar dimasukkan di dalam pakej Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini.

"Kami mahu menurunkan kos. Kami telah mencadangkan agar cukai SST dikecualikan untuk barangan ini dan juga mengurangkan cukai duti impot dan juga menawarkan insentif lain," katanya, sambil mengakui bahawa harga kerusi kanak-kanak adalah agak tinggi pada masa sekarang.

Loke turut menerangkan mengenai keputusannya beberapa bulan lalu untuk tidak meneruskan dasar yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu untuk menguatkuasakan peraturan mewajibkan kerusi kanak-kanak yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun depan.

"Kami merasakan bahawa pembekal dan stok di pasaran adalah tidak cukup untuk menurunkan kos. Kami mahu memastikan industri sudah bersedia dan rakyat juga telah diberikan maklumat yang cukup tentang pentingnya memasang kerusi kanak-kanak sebelum kita menguatkuasakan undang-undang, "katanya.

Loke juga mahu kempen kesedaran untuk mengingatkan orang ramai mengenai penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang.

"Kami akan turut mengulangi kepentingan untuk memakai tali pinggang belakang sebagai sebahagian daripada pendekatan baru bersama dengan kempen komunikasi untuk sistem keselamatan untuk kanak-kanak. Kami tidak hanya akan menumpukan perhatian terhadap keselamatan kanak-kanak sahaja. Kami mahukan penumpang di tempat duduk belakang untuk memakai juga (tali pinggang), "katanya.
 


Menurut kajian data oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penggunaan tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang oleh rakyat Malaysia adalah amat rendah.

Badan dunia itu telah memberikan mata corot untuk Malaysia iaitu hanya 4 dari sepuluh mata bagi penguatkuasaan untuk tali pinggang keselamatan.

Laporan Status Dunia WHO pada tahun 2015 telah menyatakan bahawa peratusan penggunaan tali pinggang di tempat duduk hadapan adalah 77 peratus dan 13 peratus untuk tali pinggang belakang.

Berita Berkenaan

Berita Global
Salah satu yang bakal dipamerkan ialah produk terbaharu Ergoster, tempat duduk semi-bucket yang…
Berita Global
Di Amerika Syarikat, Honda telah menghentikan sementara penjualan bagi model tersebut disebabkan…
Berita Global
Apa kata cuba cedok idea daripada Nissan, di mana kerusi daripada model klasik Nissan Fairlady Z (…