Tempahan BMW R 18 kini dibuka - 18 unit sahaja untuk pasaran Malaysia!

oleh Mohamad Hanif|
BMW Motorrad Malaysia mengesahkan kehadiran motosikal cruiser boxer serba baharu, BMW R 18 menerusi pembukaan tempahan dalam talian.

BMW R 18 serba baharu yang bakal memasuki pasaran Malaysia sebagai versi BMW R 18 First Edition ini merupakan sebuah cruiser BMW sejati yang penuh dengan karakter, selain menampilkan enjin boxer BMW dan rekaan yang timeless.

 


Dihadkan kepada 18 unit sahaja untuk pasaran Malaysia, BMW R 18 didatangkan dengan logo First Edition dengan rekaan pin stripe di atas permukaan hitam berkilat, diikuti dengan layangan warna krom pada handle bar, shifter, pelitup hujung pemegang, penutup kepala silinder dan juga di bahagian kemasukan udara.

Membantu tunggangan pada waktu siang dan malam adalah kehadiran lampu LED depan dan belakang serta lampu membelok.

 


BMW R 18 didatangkan dengan enjin boxer dengan sesaran yang paling tinggi pernah dihasilkan, iaitu enjin dua silinder 1,802 cc sejukan minyak/udara yang menjana 91 kuasa kuda dan daya kilas maksimum 158 Nm dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 180 km/j.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac kering enam kelajuan.

Sistem pencucuhan pula menggunakan ciri percikan berkembar yang membantu sistem suntikan bahan api elektronik yang menjanjikan penggunaan bahan api serendah 5.6 liter/100 km.

 


Sistem suspensi pula adalah jenis fork teleskopik klasik dengan sarung fork dan strut cantilever manakala di bahagian belakang pula dalah jenis steel swinging fork dengan strut hentakan tengah.

Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada angkup brek empat omboh dengan dua cakera 300 mm di hadapan dan cakera tunggal di bahagian belakang, serta dibantu kdengan Integral Anti-lock Braking System, Automatic Stability Control (ASC).

Tiga mod tunggangan ditawarkan iaitu Rock, Roll dan Rain.

 


Seperti yang diberitahu, BMW R 18 untuk pasaran Malaysia boleh didapati dalam versi First Edition, namun hanya 18 unit sahaja ditawarkan oleh BMW Motorrad Malaysia.

Harga jualan BMW R 18 First Edition bermula dari RM156,500 atau bulanan serendah RM2,525 menerusi pelan pembiayaan daripada BMW Group Financial Services Malaysia yang tertakluk kepada pinjaman 80 peratus untuk tempoh lima tahun.

Model baharu ini boleh didapati bermula Oktober 2020, dan bagi mereka yang berminat, boleh mendaftarkan tempahan di https://bmwmotorrad-r18.com/R18

 

Add new comment