Teknologi 'twin-dosing' SCR bakal jadikan enjin diesel Golf 2020 lebih mesra alam

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda mengikuti perkembangan Volkswagen sejak dari zaman dieselgate yang melanda beberapa tahun lalu, anda mungkin akan ada sedikit perasaan tidak yakin dengan tajuk yang kami berikan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, Volkswagen tetap optimis bahawa teknologi baharu yang bakal dibawakan pada enjin diesel Volkswagen Golf 2020 akan mampu mengurangkan penghasilan emisi NOx ke udara. 

Teknologi SCR atau nama panjangnya Pengurangan Pemangkin Terpilih (Selective Catalytic Reduction) telah digunakan sejak tahun 2018 lagi dan ia terbukti berkesan mengurangkan pelepasan emisi nitrogen oksida ke udara. 

Namun, kini Volkswagen telah membangunkan versi baharu kepada sistem SCR itu tadi yang dipanggil sebagai 'twin-dosing'. 

 


Secara ringkasnya, sistem terbaharu SCR ini menggunakan dua penyuntik cecair AdBlue -  bahan aditif tidak bertoksik berasaskan urea dan air bagi mengurangkan pelepasan NOx - di dua lokasi yang berbeza. 

Kenapa urea?

Urea merupakan sebatian organik dengan formula CO(NH2)2 di mana ia mengandungi ion-ion ammonium yang diperlukan sebagai ejen penurun kepada nitrogen oksida di dalam enjin diesel. 

Cecair AdBlue itu tadi disuntik ke dalam aliran gas ekzos, di mana ia akan menyejat dan membentuk ammonia (NH3) apabila bergabung dengan stim. 

Di dalam penukar pemangkin itu tadi, ammonia akan menghasilkan reaksi kimia dengan nitrogen oksida sebelum membentuk air dan gas nitrogen (N2) yang tidak berbahaya. 
 


Berbalik kepada sistem twin-dosing itu tadi, sebuah penyuntik diletakkan berdekatan dengan enjin di mana suhu operasinya sangat tinggi, manakala penyuntik kedua pula diposisikan di bahagian bawah kenderaan yang mana suhu ekzos pula lebih rendah berbanding di posisi pertama itu tadi.

Walaupun suhu gas ekzos yang dihasilkan masih lagi menyamai suhu enjin, perbezaan suhu antara kedua-dua pemangkin itu tadi mampu mencapai kadar penukaran gas ekzos yang lebih berkesan - iaitu daripada NOx kepada gas nitrogen dan juga air.

Menurut Volkswagen, sistem baharu ini sudah pun diguna pakai pada sedan Passat 2.0 TDI Evo (150 PS) yang mana ia mampu memenuhi piawaian pelepasan emisi Euro 6d.

Manakala Volkswagen Golf generasi baharu juga dijangka bakal dilengkapkan dengan sistem SCR twin-dosing ini.