Kira-kira tiga tahun yang lalu, syarikat automotif China itu tampil dengan sebuah platform modular yang pintar, dikenali dengan nama "LEMON" dan "TANK".
Platform LEMON

Akronim bagi nama platform LEMON tersebut tidak didedahkan secara rasmi, namun ia merupakan sebuah platform modular yang menawarkan ciri-ciri seperti fleksibiliti, prestasi tinggi, ciri keselamatan menyeluruh serta ringan.
Ciri yang disebutkan itu memberikan kelebihan prestasi berkuasa tinggi serta kadar penggunaan tenaga yang lebih rendah.
Platform LEMON ini juga menawarkan empat pilihan trenkuasa yang boleh disesuaikan dengan kehendak pengguna, terdiri daripada:
- Enjin pembakaran dalaman (ICE)
- Hibrid
- Elektrik Tulen
- Sel Bahan Api Hidrogen

Menurut GWM, kenderaan yang lahir dari platform LEMON ini akan mempunyai kelebihan dari segi kadar kecekapan haba 41 peratus untuk enjin konvensional, atau 42 peratus untuk trenkuasa hibrid di mana angka tersebut boleh ditingkatkan kepada 51.5 peratus menjelang 2025.
Sistem sel bahan api hidrogen generasi kedua yang dibangunkan oleh GWM dikatakan mampu mencapai jarak gerak paling jauh di dunia, sekitar 1,100 km dengan pecutan 0-100 km/j yang boleh dicapai dalam tempoh 4.56 saat sahaja.
Platform TANK

Sebuah lagi platform "TANK" dikhususkan untuk kenderaan kegunaan off-road yang menawarkan keupayaan berikut:
- pilihan enjin 2.0 liter turbo/3.0 liter turbo GDIT
- transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan (9AT)
- kadar kecekapan haba mencecah 38 peratus
- sistem pacuan empat roda pintar yang tahan lasak
- kemampuan meredah air sedalam 965 mm (bergantung kepada model)
- sistem suspensi aktif yang boleh dilaras sehingga 120 mm
Sistem Coffee Intelligence

Selari dengan perkembangan dunia semasa, GWM turut membangunkan sebuah sistem kepintaran kenderaan yang dinamakan sebagai Coffee Intelligence dengan membawakan tema 'menyuburkan kehidupan dengan teknologi' dan menggandingkan tiga aspek utama, iaitu interaksi, kepintaran buatan (AI) dan ekologi.
Ia menawarkan ciri pemanduan autonomi tahap 3 (SAE Level 3) dan boleh dinaiktaraf kepada SAE Level 4 atau tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Selain daripada keupayaan untuk mengesan keadaan persekitaran sehingga 720 darjah, Coffee Intelligence juga turut menyokong komunikasi 5G serta V2X (vehicle-to-everything) yang mampu mengintegrasikan sesebuah kenderaan GWM ke dalam sistem pengangkutan urban pintar.
Baca: Ora Lightning Cat bakal masuk Malaysia
Baca: Tank 500 - pesaing Land Cruiser
Baca: WEY Gaoshan - bakal saingi Alphard, sistem PHEV
Baca: HAVAL Fierce Dragon Max