Pada April lalu Careta memaparkan mengenai pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Armada generasi keempat.
Di Timur Tengah, Armada dikenali sebagai Patrol yang kini memasuki generasi ketujuh dan turut digerakkan enjin 3.5 liter turbo berkembar V6.
Enjin ini juga menggunakan teknologi yang berasal dari GT-R.
Dari segi prestasi, enjin ini menghasilkan 425 kuasa kuda (hp) dan 700Nm atau tujuh peratus lebih berkuasa dan 25 peratus lonjakan daya kilas.
Walaupun lebih berkuasa, Nissan memaklumkan penggunaan bahan api lebih cekap atau sehingga 24 peratus berbanding sebelum ini.
Teknologi GT-R yang dimaksudkan ialah pam pengumpulan minyak (scavenger oil pump) yang meningkatkan pelinciran semasa pemanduan dengan daya-G tinggi.
Patrol satu-satunya SUV di dalam segmen yang dilengkapi pam ini.
Untuk GT-R, pam ini digunakan bagi mengekalkan kuasa tinggi ketika di selekoh dan disesuaikan untuk Patrol bagi membantu ketika mendaki bukit pasir yang curam.
Para jurutera Nissan turut menumpukan pada aspek lain sebagai contoh roda turbin pengecas turbo dibuat daripada Mar-M.
Aloi super yang berasaskan nikel itu biasanya digunakan di dalam industri penerbangan.
Aloi berkekuatan tinggi ini membolehkan pengecas turbo bertahan pada suhu melampau dan mengekalkan prestasi dalam keadaan yang paling mencabar.
Aliran udara dan bahan api dioptimum dengan meningkatkan tekanan bahan api iaitu 35 MPa berbanding 15 MPa pada enjin V8 sebelum ini.
Lejang omboh pula lebih panjang iaitu 100.2 milimeter (mm) berbanding 92 mm. Nissan memaklumkan tetapan dan binaan tersebut mengurangkan impak pada alam sekitar.
Sistem pemasaan kemasukan elektrik baharu meningkatkan tindak balas pendikit dan rasa pemanduan keseluruhan.
Enjin V6 turbo Patrol dipadan bersama kotak gear automatik sembilan kelajuan baharu.
Pemandu boleh memilih enam mod berdasarkan keperluan seperti Standard, Sand, Rock, Mud, Eco dan Sport.
Patrol juga menggunakan sistem mod antara kunci pindahan 4WD dan pertama untuk Nissan.
Sistem ini memilih mod pemanduan optimal secara automatik daripada enam mod yang ada dan memudahkan pemanduan di atas pelbagai permukaan bumi.
Selain enjin turbo, pelanggan di Timur Tengah boleh mendapatkan Patrol dengan enjin 3.8 liter V6 biasa (naturally-aspirated).
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan