Teknik menunggang motosikal ADV - Duduk atau berdiri? (Bahagian 1)

oleh HEZERI SAMSURI|
Motosikal genre dual purpose atau DP memang antara yang paling popular sekarang.

Lebih dikenali dengan nama adventure bike atau ADV, ia mirip seperti apa yang terjadi kepada dunia roda-empat, di mana SUV lebih menjadi perhatian dan pilihan ramai.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ada yang menunggang motosikal ADV mereka hanya di atas jalan bertar, tetapi ramai juga yang akan mencuba untuk pergi ke denai-denai di pinggir hutan.

Sering juga kita lihat di TV atau di Internet, banyak penunggang motosikal ADV berdiri bila menunggang di jalan tidak berturap.

Adakah itu cara terbaik? 

Di sini kita ceritakan apa kebaikannya jika anda berdiri bila menunggang di kawasan offroad.

Kenapa berdiri?
 

 

Jarak penglihatan

Antara sebab kenapa kenderaan 4X4 itu tinggi bukan hanya kerana ia boleh meredah permukaan kasar, tetapi ia memberikan pemandu jarak penglihatan yang lebih jauh dan luas agar mampu "memilih" jalan mana yang paling selamat.

Sama juga dengan motosikal ADV. Bila anda berdiri, anda boleh "membaca" keadaan jalan supaya anda tahu laluan mana yang paling selamat.

 

 

Mengawal keseimbangan motosikal

Jika tubuh kita "terasing" dari motosikal, ia lebih mudah untuk kita mengawal motosikal itu.

Jika kita menunggang sambil duduk, kesimbangan motosikal tidak berubah dan kadang-kadang sukar untuk anda mengawal jentera itu di kawasan yang tidak rata.

Contohnya, jika laluan itu ada naik dan turun, menunggang sambil berdiri membolehkan anda mengalihkan berat agar bertumpu ke hadapan, atau ke belakang.

 

 

Menyerap hentakan

Bila anda berdiri, pastikan lutut dibengkokkan sedikit agar bila motosikal anda melanda kawasan yang berbonggol-bonggol, kaki anda akan "menyerap" hentakan itu.

Bila motosikal anda sarat dengan beg dan pannier, berdiri membantu meringankan sedikit tekanan ke atas sistem gantungan anda.

Jika anda duduk, kesemua berat akan bertumpu pada motosikal dan ia akan meningkatkan risiko bahagian enjin motosikal anda menghentak batu kerana sistem gantungan yang sudah mampat habis (bottom out).

 

 

Dapat meluruskan kaki

Kaki anda perlu dalam keadaan bersedia. Jika anda duduk terlalu lama, betis dan peha mungkin boleh kebas.

Bila anda berdiri, anda boleh sekali-sekala meluruskan kaki agar perjalanan darah sekata.

Ia juga bagus kerana anda lebih bersedia sekiranya anda perlu melakukan adegan melompat secara tiba-tiba kerana permukaan yang teruk.

 

 

Menyejukkan bahagian bawah badan

Bila berdiri, bahagian bawah badan dapat disejukkan kerana aliran udara yang lebih baik.

Ini sebenarnya membantu bila dalam perjalanan jauh, kerana bahagian dalam seluar yang berkuap akan memudahkan jangkitan kuman.

 

 

Tidak semua permukaan, jalanraya dan penunggang sesuai dengan cara berdiri ini. Faktor-faktor itu juga mungkin berbeza dari apa yang kami tulis dan anda sebagai seorang penunggang perlu tahu posisi mana yang lebih selesa dan paling penting, lebih selamat.

Belajar menunggang secara berdiri di kawasan yang selamat, pada kelajuan rendah.

Posisi berdiri memerlukan latihan kerana cara memulas pendikit, menukar gear dan membrek adalah berbeza.

 

 

Ada motosikal ADV yang memang mempunyai pedal brek yang  boleh diubah untuk posisi menunggang berdiri atau duduk. Contohnya, siri GS Adventure dari BMW (gambar atas).

Untuk mengetahui bila anda patut menunggang dengan duduk, sila baca artikel ini pula.

Teknik menunggang motosikal ADV - Duduk atau berdiri? (Bahagian 2)


* Artikel berdasarkan beberapa laman web antarabangsa dan pengalaman penulis

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Selepas kehadiran model 250 cc itu, Aveta Malaysia dilihat bakal melancarkan sebuah skuter kembara…
Telah Diuji
Mereka mula menggegarkan dunia menerusi pengenalan skuter X-ADV dengan sesaran enjin 750 cc, namun…
Pelancaran Motosikal
Desert X dikuasakan enjin Testastretta V-Twin 937 cc yang berupaya menghasilkan 110 hp @ 9,250 rpm…