Mangsa yang maut adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi,36; isterinya, Siti Khazira Bani,35; dan anak mereka, Mariam,2, dari Kota Tinggi.
Dua lagi mangsa yang maut adalah pemandu kereta Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa,23, dari Nilai, Negeri Sembilan dan penumpang hadapan kereta itu berusia 20-an yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Nasaarudin dan Siti Khazira disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Enche' Besar Hajah Khalsom, manakala Iklil Nuraudah dan lelaki yang menumpang keretanya serta Mariam, maut di lokasi kemalangan dengan semua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata nahas berlaku apabila tayar hadapan kanan treler dipandu Abdul Rahman Muhammad Rashid Rajos, 35, dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur pecah, menyebabkannya hilang kawalan sebelum bergesel dengan kereta Toyota Camry dipandu Ow Yang Meng yang berada di laluan sama.Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan treler memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta dipandu Iklil Nuraudah dan Nasaarudin yang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.
Katanya, pertembungan itu juga menyebabkan kereta Nasaarudin terbakar keseluruhannya namun penumpang dan pemandu sempat dikeluarkan dari kenderaan sebelum api merebak.
"Dalam kejadian itu, tiga lagi anak Nasaarudin yang masing-masing berusia empat, tujuh dan sembilan tahun parah serta dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajah Khalsom untuk rawatan lanjut.
"Selain Abdul Rahman dan Yang Meng, tiga lagi mangsa yang cedera dan dirawat di hospital sama ialah penumpang kereta Toyota Camry, Ow Yang Jun, 37; Soon Kim Ti, 25, dan Ow Yu Cheng, 2," katanya pada Jumaat.
Susulan kemalangan itu, Bahrin berkata, polis menahan Abdul Rahman untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing dilakukan terhadapnya adalah negatif.
Beliau berkata, identiti tiga anak Nasaarudin yang parah pula masih belum diketahui kerana dokumen diri terbakar bersama kenderaan dinaiki mereka.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Nizar Mamun berkata, 13 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan Kulai bersama tiga jentera terbabit dalam operasi menyelamat.
"Setiba di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan MPV Honda Stepwagon dan treler," katanya.
- Salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat -