Tayar sotong dan ubah brek, ubahsuai motosikal ekstrem yang berleluasa

oleh Hamimah Hamid|
MENGUBAHSUAI motosikal secara ekstrem antara kesalahan tertinggi yang dikesan dalam kalangan penunggang motosikal ketika Operasi Khas Motosikal 2023 yang dilakukan sejak awal bulan lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata, daripada notis yang dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 64,980 motosikal, 1,315 notis dilakukan kerana ubah suai ekstrem pada motosikal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Sebahagian besar kenderaan yang disita didapati diubah suai pada bahagian ekzos, membuang sistem brek belakang termasuk ubah suai ekstrem hingga meningkatkan kelajuan motosikal.

“Ubah suai yang dilakukan itu membahayakan bukan sahaja kepada penunggang terbabit tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Ujar Datuk Lokman, hasil dapatan juga mendapati kebanyakan pengguna motosikal melakukan kesalahan dengan mengubah suai struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

Tegas beliau, pihaknya memandang serius kesalahan mengubahsuai motosikal dan bagi motosikal yang tidak boleh diubah kembali kepada struktur asal, kenderaan itu akan disuraikan serta dilelong kerana ia tidak lagi boleh berada di atas jalan raya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 di Ipoh, malam tadi.

Dalam operasi tersebut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 33,092 notis pelbagai kesalahan manakala 1,516 buah motosikal disita.

Menurut beliau, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 64,980 motosikal manakala sitaan dilakukan kerana ubah suai ekstrem pada motosikal.

"Sepanjang tempoh operasi, kita telah mengesan beberapa kesalahan utama iaitu 11,445 notis dikeluarkan atas kesalahan tiada insurans, tiada lesen memandu (9, 496 notis) dan ubah suai kenderaan (1,315 notis).

Mengulas lanjut, Datuk Lokman berkata, pelaksanaan operasi khas yang bermula 1 Sept sehingga semalam itu berdasarkan kaedah risikan atau penyamaran di lampu isyarat lokasi tumpuan, sekatan jalan raya (SJR) dan 'snap check' membabitkan laluan motosikal di sekitar Ipoh.

"Dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan, JPJ mengambil tindakan penguatkuasaan bagi mendidik pengguna supaya mematuhi peraturan dan berhemah semasa berada di jalan raya," katanya.

Katanya, operasi tersebut melibatkan 85 pegawai dan anggota dari JPJ ibu pejabat serta JPJ Perak dengan kerjasama bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).