Tawaran kompaun khas itu membabitkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
"Sehingga 23 Januari, kita sudah kutip RM12.5 juta kutipan membabitkan 83,000 saman dan kita gesa supaya orang ramai mengambil peluang kerana tawaran kompaun khas ini berlangsung sehingga 30 Jun sahaja.
"Kompaun AWAS serendah RM150 sahaja jadi ambillah peluang ini. Bayaran boleh dibuat melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJpj," katanya ketika sidang media pada Sabtu.
Aedy Fadly berkata, selepas 30 Jun ini, kadar bayaran tunggakan saman akan kembali seperti biasa iaitu RM300 dan tindakan lebih tegas akan dikenakan sebaik tempoh enam bulan itu berakhir.
Menurutnya, JPJ akan membuat sekatan urusniaga dan menyenaraihitamkan pesalah jalan raya itu sehingga mereka membayar saman berkenaan.
"Mereka tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan selagi dia tidak menjelaskan tunggakan saman jadi sekarang ini kita beri peluang kepada rakyat Malaysia yang mempunyai saman tiga kesalahan yang ditetapkan itu menjelaskan segera.
"Ada dua juta lagi (saman), masih banyak. Kita tidak akan cari (pesalah jalan raya) tapi kita sekarang dalam tempoh pemutihan malah masih ramai yang belum tahu ada kadar kompaun khas ini.
"Kita harap semua pihak dapat membuat hebahan agar kadar kompaun khas ini mendapat perhatian semua terutama pesalah jalan raya agar dapat menjelaskan tunggakan saman mereka," katanya.