Tawar khidmat trak tunda sebelum mencuri barang kereta

oleh SALINA JALIL|
Polis mengesan modus operandi sekumpulan individu yang kononnya menawarkan khidmat trak tunda kepada pemandu kereta terbabit kemalangan sebelum mencuri barang dalam kenderaan itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata hasil maklumat dan risikan, pihaknya menahan empat individu termasuk dua wanita di sebuah stesen minyak di Shah Alam, semalam, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.

 

Katanya, turut dirampas satu alat pembesar suara, satu SmartTAG, satu kad Touch 'n Go, satu beg silang, dua kad debit, tiga telefon bimbit, satu jam tangan berjenama serta satu kunci kereta sebagai bahan bukti siasatan.

 

"Kita terima laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun yang memaklumkan kereta jenis Peugeot dipandunya di Jalan Syed Putra, di sini, mengalami kemalangan jam 12.30 tengah malam pada 19 Disember lalu.

 

"Selepas insiden itu, mangsa didekati dua lelaki dan dua wanita yang menawarkan khidmat trak tunda. Ketika pengadu sedang berunding dengan seorang lelaki itu, dia melihat tiga lagi individu berkenaan dalam keadaan mencurigakan berdekatan keretanya.

 

"Pengadu juga melihat seorang wanita itu masuk ke dalam keretanya dan keluar semula lima minit kemudian. Hasil perbincangan, mangsa tidak bersetuju untuk menggunakan khidmat trak tunda ditawarkan mereka.

 

"Selepas mereka beredar, pengadu mendapati beberapa barang miliknya dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 yang berada dalam kereta hilang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, Anuar berkata, dua suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah pecah amanah, manakala seorang suspek wanita ada beberapa rekod jenayah berkaitan dadah serta curi.

 

Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di daerah ini boleh menghubungi polis Brickfields di talian hotline 03-2297 9222.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Informasi
  Sumber berkata, siasatan mendapati kakitangan itu berkemungkinan adalah ahli sindiket mencuri…
Berita Domestik
Sepasang lembu jantan dan betina disumbatkan ke tempat duduk belakang Perodua Myvi yang dipandunya…
Berita Global
Menurut polis, pemandu yang dikenali sebagai N itu ditugaskan untuk mengambil sekotak penuh berisi…