Tawar judi online, bengkel motosikal dipotong bekalan elektrik

oleh Hamimah Hamid|
SEBUAH bengkel motosikal di Sitiawan, Manjung dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selepas didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Bengkel motosikal terbabit antara empat premis yang dikenakan tindakan itu dalam operasi khas oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, bengkel motosikal itu telah dipotong bekalan elektrik kerana menjalankan perjudian loteri tanpa lesen di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Modus operandi bengkel ini lebih kepada dia berselindung, operasinya berselindung melalui perniagaan membaiki motosikal dan menjual barang-barang alat ganti motosikal.

“Tetapi di samping itu mereka sebenarnya turut menjual loteri haram, tujuannya untuk mengaburi pihak polis,” katanya.

Menurut ACP Nor Omar, bengkel motosikal tersebut didapati pernah dikenakan tindakan lebih daripada tiga kali atas kesalahan sama sebelum ini.

Katanya, premis terlibat aktif menjadi ejen perjudian haram sejak dua tahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan sah dan mendapat komisen sekitar 18 peratus daripada hasil judi.

Tegas ACP Nor Omar, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti perjudian dan konsisten membanteras aktiviti itu termasuk semua jenayah lain.