Tata Punch 2022 - SUV segmen A, nadi 1.2 liter NA 84 hp, harga serendah RM30k di India

oleh Mohamad Hanif|
Segmen SUV bajet di India kini menjadi semakin meriah dengan kehadiran sebuah lagi pendatang baharu dari pengeluar Tata.

Tata Punch 2022 merupakan SUV kecil pertama pengeluar itu untuk pasaran India bagi melawan model-model SUV bajet seperti Hyundai Casper, Suzuki Ignis, Renault Kwid dan Mahindra KUV100.

Berkongsi platform ALFA (Agile Light Flexible Advanced Architecture) dengan model Tata Altroz (segmen B), SUV kecil ini membawakan bahasa rekaan 'Impact 2.0' yang merupakan kolaborasi antara studio rekaan Tata di India, UK dan Itali, yang merangkumi trend semasa seperti unit lampu utama bertingkat, pemasangan cladding plastik serta kemasan warna dua tona.
 

Tata


Tata Punch mempunyai ukuran sepanjang 3,827 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,445 mm.

Saiz rim pula boleh didapati bermula dari 15 inci atau opsyen rim bersaiz 16 inci yang tampak lagi sesuai dimuatkan pada arka roda yang bersegi itu.

Selain itu, Tata Punch turut memiliki sudut mendatang 20.3 darjah, sudut pelepasan 37.6 darjah, sudut breakover 22.2 darjah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 190 mm dan keupayaan meredah air sedalam 370 mm.
 

Tata


Untuk sebuah SUV yang kecil, Tata menggunakan nadi tiga silinder sebaris 1.2 liter NA Revotron yang mampu menjana 84 hp dan 113 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik lima kelajuan dengan sistem pacuan roda depan.

Ruang kabin pula mampu memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa, sementara kapasiti kargo pula adalah sebesar 366 liter.
 

Tata


Antara ciri yang ada pada Tata Punch adalah rekaan papan pemuka bertemakan dua tona, warna aksen yang cerah, dua beg udara, skrin infotainmen bersaiz empat inci (trim Adventure) atau skrin Harman bersaiz tujuh inci (trim Accomplished & Creative), sistem audio dengan empat atau enam pembesar suara, lampu LED belakang, kawalan jelajah dan butang pandu mula.

Sementara varian premium Creative pula menambah ciri seperti sistem pendingin hawa automatik, skrin kluster digital tujuh inci, lampu dan penyeka kaca automatik, perehat tangan untuk penumpang belakang, roda stereng balutan kulit, lampu kabus dan rim bersaiz 16 inci.
 

tata


Harga jualan Tata Punch 2022 bermula dari Rs 5.49 Lakh (RM30,390) sehingga Rs 9.39 Lakh (RM51,986) untuk varian Creative.