Tata Motors Umum Pengambilalihan Iveco Bernilai RM19.2 Bilion

oleh Qalif Latif|
Tata Motors mengumumkan langkah strategik besar dengan perolehan penuh unit kenderaan komersial milik Industrial Vehicles Corporation (Iveco) dari Itali dalam urus niaga tunai bernilai USD 4.36 bilion (RM19.2 bilion).

Urus niaga ini tertakluk kepada pemisahan unit pertahanan Iveco, yang akan dijual kepada syarikat pertahanan Itali, Leonardo, sebagai syarat utama penyempurnaan perjanjian.

Tata Motors akan membiayai perolehan ini menerusi pinjaman berjumlah RM19.8 bilion (USD 4.5 bilion), yang dijamin oleh Morgan Stanley dan Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG). Syarikat itu turut merancang untuk mengumpul ekuiti sekitar RM6.2 bilion (USD 1.4 bilion) bagi membayar semula sebahagian daripada pinjaman tersebut.

Bagaimanapun, pengumuman ini mencetuskan kebimbangan pelabur. Saham Tata Motors menyusut sebanyak 6% sejak pengumuman dibuat, berikutan kerisauan terhadap beban hutang tinggi serta ketidaktentuan pasaran global khususnya kemungkinan tarif baharu Amerika Syarikat terhadap India susulan pembelian minyak Rusia.
 

Potensi & Strategi Jangka Panjang

Menurut pihak pengurusan Tata Motors, pengambilalihan ini dijangka menjana pendapatan melebihi RM110 bilion (USD 25 bilion) merangkumi pasaran Eropah, India dan benua Amerika. Mereka menyifatkan langkah ini sebagai usaha untuk “membangunkan perniagaan berskala besar dan signifikan” bersama Iveco.

Segmen kenderaan komersial ketika ini hanya menyumbang sekitar 18% kepada jumlah hasil Tata Motors, namun syarikat itu melihat potensi pertumbuhan jangka panjang melalui pengukuhan kehadiran di Eropah pasaran yang sebelum ini sukar ditembusi oleh pengeluar dari Asia Selatan.

Cabaran: Sejarah Silam & Situasi Global

Pengambilalihan ini adalah yang terbesar sejak Tata membeli Jaguar Land Rover (JLR) pada tahun 2008 dengan nilai RM10.1 bilion (USD 2.3 bilion). Namun pencapaian JLR pasca pengambilalihan tidaklah begitu memberangsangkan, memandangkan penurunan permintaan global dan tekanan berterusan ke atas margin keuntungan.

Pihak Tata Motors menegaskan bahawa mereka telah “belajar daripada pengalaman lalu” dan kini lebih bersedia dari aspek perancangan serta penyelarasan strategik.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa kesan sebenar daripada pengambilalihan Iveco ini hanya dapat dinilai dalam tempoh 3 hingga 5 tahun memandangkan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Sumber: https://www.ft.com/content/dc7e358d-3e9f-4d45-a54f-7b3278693392

Berita Berkenaan

Berita Global
Dengan pelancaran eJolly dan eSuperJolly, penawaran IVECO dalam segmen kenderaan ringan elektrik…
Berita Global
  Susulan reaksi positif, IVECO mengambil keputusan untuk menawarkannya di dalam versi pemanduan…
Berita Global
Perlumbaan yang berlangsung di Arab Saudi itu menyaksikan pelumba pasukan< Janus van Kasteren…