Bukan satu, akan tetapi dua buah model baharu GR yang bakal dipertontonkan kelak.
Salah satu daripadanya merupakan varian pantas kepada model GR Yaris, dan kelibat model ujian tersebut sebenarnya telah pun beberapa kali dikesan mengelilingi litar Nurburgring.
Tanpa menyebut atau mengesahkan ia sebenarnya model Yaris GRMN, Toyota menyifatkan model tersebut sebagai model talaan penuh bagi GR Yaris, dengan beberapa perubahan seperti rekaan hud berliang, spoiler belakang yang lebih besar, kehadiran komponen canard pada bampar dan splitter yang lebih agresif.
Selain daripada itu, sebuah model misteri bakal muncul di khalayak ramai menggunakan nama GR GT3 Concept.
Asas kepada model ini tidak diketahui memandangkan perkadaran sisi model GR GT3 Concept ini dilihat agak jauh berbeza jika dibandingkan dengan GR Supra.
Berdasarkan gambar, berkemungkinan besar ia jentera pacuan roda belakang dengan rekaan hud enjin yang agak panjang, fender depan berliang, spoiler belakang yang gagah, serta unit pencahayaan LED yang sama sekali berbeza berbanding model-model Toyota sedia ada.
Menurut Toyota, GR GT3 Concept merupakan sebuah jentera konsep perlumbaan yang menggandingkan ilmu dan teknologi yang diperoleh Toyota Gazoo Racing menerusi arena sukan permotoran.
Tokyo Auto Salon 2022 akan turut menempatkan barisan jentera-jentera GR dari pelbagai disiplin perlumbaan seperti WEC, Super GT dan sebagainya, serta pameran GR Heritage Parts yang diumumkan untuk Toyota Supra (A70 & A80), serta Toyota Corolla AE86 (Sprinter Trueno/Levin).