Sebanyak lima unit sahaja NSX Legavelo yang akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga bermula dari 25.3 juta yen (RM929k).
Bahagian panel luar NSX ini banyak menggunakan bahan daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) yang merangkumi bahagian muka hadapan, hud berliang, fender hadapan berliang, diikuti dengan fender bersegi pada bahagian belakang.
Meskipun rupa paras NSX kini jauh lebih berpetak, pihak ARTA hanya memasangkan spoiler yang kecil di bahagian belakang, sebelum diakhiri dengan empat tip ekzos yang disusun seakan ekzos model Pagani Zonda.
Ruang kabin juga turut mendapat kemasan gentian karbon, diikuti dengan balutan Alcantara pada tempat duduk, roda stereng dan panel pintu.
Honda mengakhiri produksi NSX generasi kedua menerusi pengenalan model Type S berkuasa 600 hp, yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar yang mampu menukar gear 50 peratus lebih cepat.
Daripada 350 unit yang dihasilkan, 50 unit dikhususkan untuk pasaran Jepun.