TAS 2020 - Toyota GR Yaris, 272 PS, 370 Nm, harga dari RM148k!

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada sebuah lagi model berprestasi tinggi hasil kerja tangan daripada divisyen Gazoo Racing, iaitu Toyota GR Yaris.
Modenas

Hot hatch ini diperlihatkan secara rasmi bersempena dengan Tokyo Auto Salon 2020 yang bermula pada hari ini. 

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, Toyota GR Yaris tidaklah memiliki persamaan dengan Yaris generasi baharu versi Eropah yang dilancarkan sebelum ini. 

 


Menggunakan pengalaman dan pengetahuan dari penglibatan dalam WRC, tujuan utama Toyota Gazoo Racing adalah untuk menghasilkan sebuah kereta sports yang sempurna menerusi Toyota GR Yaris. 

Segalanya perlu dibina semula daripada awal termasuklah casis, sistem pacuan, serta rangka badan demi mencapai tahap prestasi aerodinamik yang dikehendaki oleh pasukan Toyota Gazoo Racing. 

 


Ini menjawab persoalan kenapa Toyota GR Yaris menggunakan konfigurasi hatchback dengan tiga pintu, jika dibandingkan dengan Yaris standard lima pintu. 

Dengan penggunaan bahan yang lebih ringan pada komponen seperti bumbung dan pintu daripada CFRP dan hud aluminium, Toyota GR Yaris memiliki berat hanya sekitar 1,280 kg sahaja.
 


Tidak seperti kebiasaan, Toyota Gazoo Racing menggunakan khidmat enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo yang serba baharu, kompak dan mampu menjana kuasa setinggi 272 PS dan 370 Nm, sekaligus menjadikannya enjin tiga silinder paling berkuasa di dunia. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan 4WD GR-Four yang serba baharu menerusi transmisi Intelligent Manual Transmission (iMT) enam nisbah kelajuan dengan tiga mod pemanduan yang berbeza iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).
 


Sistem pengendalian diserahkan kepada strut MacPherson di hadapan dan suspensi double wishbones di bahagian belakang menggantikan peranan torsion beam pada Yaris standard. 

Kuasa itu tadi dilampiaskan ke jalan raya menerusi tayar Michelin Pilot Sport 4S yang membaluti rim BBS bersaiz 18 inci pada keempat-empat sudut. 
 


Produksi Toyota GR Yaris akan dikendalikan oleh barisan produksi yang berdedikasi terletak di Kilang Motomachi yang terkenal dengan sejarah pemasangan kenderaan-kenderaan berprestasi tinggi Toyota.

Berita baik, Toyota kini membuka tempahan bagi GR Yaris secara dalam talian sahaja bermula hari ini sehingga 30 Jun dan anda boleh memilih dua varian khas iaitu RZ First Edition dan RZ High-Performance First Edition. 

Harga jualan pula adalah seperti berikut:

RZ First Edition - 3.96 million yen (RM147,889)
RZ High Performance First Edition - 4.56 million yen (RM170,294)
 

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Itu cerita dulu, sebelum Toyota tiba-tiba 'berpuasa' daripada menghasilkan kereta-kereta yang…
Berita Global
Model yang dibangunkan berdasarkan Yaris versi Eropah tersebut pada mulanya didatangkan dengan dua…
Berita Global
Apa yang bakal ditawarkan oleh Toyota GR Yaris merupakan sebuah model hot hatch yang direka untuk…