Tarikan terbaharu di Langkawi SkyCab; Gondola 360

oleh SALINA JALIL|
Keterujaan pengunjung ke Langkawi SkyCab, antara kereta kabel tercuram di dunia, bakal bertambah dengan pengenalan empat Gondola 360.

Mula beroperasi pada hari Khamis lalu, gondola yang menggunakan teknologi dari Switzerland itu pasti memberi pengalaman baharu buat pelancong di pulau legenda bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM2020).

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd, Abu Hashim Abd Rahman, berkata Gondola 360 adalah produk terbaharu dari Panorama Langkawi bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung Langkawi SkyCab, kereta kabel yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Machinchang yang tingginya 708 meter.

 

“Gondola 360 ini boleh memuatkan empat penumpang dengan muatan 300 kilogram. Gondola yang terbuka dengan jejari besi ini sudah tentu mengujakan dan memberi pengalaman menakjubkan kepada pengunjunng.

 

“Apabila menaiki Gondola 360, pengunjung dapat merasai udara yang nyaman dan berpeluang melihat keindahan Gunung Machinchang dengan lebih jelas lagi.

 

“Selain itu, gondola turut dilengkapi lantai kaca bagi pengunjung melihat terus ke bawah seperti merentasi Gunung Machinchang,” katanya kepada BERNAMA.

 

Abu Hashim berkata, Gunung Machinchang adalah gunung tertua di Asia Tenggara yang berusia 550 juta tahun dan semestinya dapat memberikan pengalaman mengasyikkan kepada pengunjung yang menaiki Gondola 360 ini.

 

Sementara itu, Ketua Unit Sistem Kereta Kabel Panorama Langkawi Sdn Bhd, Amran Ayob, berkata empat gondola berkenaan tiba Selasa lalu dan siap dipasang keesokannya oleh 13 kakitangan sebelum mula beroperasi.

 

“Gondola 360 ini menggunakan teknologi dari Switzerland dengan setiap gondola memerlukan empat hingga lima jam untuk siap dipasang.

 

“Apa yang menarik mengenai gondola ini ialah ia tidak memiliki cermin sebaliknya hanya jejari besi seterusnya membolehkan pengunjung yang naik merasai udara segar serta angin dalam perjalanan menuju Gunung Machingchang.

 

“Dari segi keselamatan, penumpang tidak perlu risau kerana gondola ini selamat seperti gondola lain,” katanya

 

 

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis…