Tapak turn table keretapi manual terakhir di Malaysia berusia 108 tahun dileraikan

oleh Mohamad Hanif|
KTM Berhad (KTMB) menerusi satu hantaran di Facebook mendedahkan proses membuka dan meleraikan struktur turn table keretapi manual yang terakhir digunakan di Malaysia bertempat di Tumpat, semalam.

Menurut Azman Hasan, Pegawai Operasi Tumpat berkata, kerja-kerja itu dilakukan adalah untuk memberikan laluan kepada kerja menaik taraf landasan baharu yang bakal menghubungkan Depoh Tumpat ke bahagian pencucian tren.

Turn table berkuasa manusia itu mula digunakan pada tahun 1913 di Depoh Stokereta Tumpat, Kelantan oleh pentadbiran Federated Malay States Railway (FMSR).

 


Struktur turn table itu dibina di England dan dibawa masuk ke Tanah Melayu pada ketika itu oleh Syarikat Patent Shaft & Axletree Engineers Co. Ltd.

Turn table ini berfungsi untuk memusingkan arah lokomotif, dan disebabkan ia berada pada titik graviti yang paling sempurna, turn table ini boleh dipusingkan dengan menggunakan tenaga sehingga tiga orang kakitangan sahaja pada satu-satu masa.

Menurut KTMB lagi, struktur turn table itu akan ditempatkan di lokasi baharu sebagai simpanan sebahagian sejarah keretapi untuk tatapan generasi baharu akan datang.