Tapak asal New York Auto Show jadi hospital sementara untuk pesakit bukan COVID-19

oleh Mohamad Hanif|
Jika diikutkan tarikh asal, tapak asal Jacob K. Javits Convention Centre sudah pun dipenuhi dengan barisan kenderaan-kenderaan baharu yang menjadi sebahagian daripada acara tahunan New York Auto Show.

Namun, disebabkan peningkatan kes wabak pandemik COVID-19 yang melanda satu dunia, ini memaksa Amerika Syarikat untuk menukarkan fungsi dewan konvensyen berkeluasan 167 ribu meter persegi itu kepada sebuah hospital sementara.

Ia bakal menjadi pusat penempatan sementara yang bakal menempatkan pusat kawalan ketenteraan, stor peralatan perubatan dan perlindungan untuk petugas-petugas perubatan.

 


Dalam masa satu minggu, Javits Convention Centre ini akan dipenuhi dengan 1,000 unit katil untuk kes-kes bukan COVID-19 dan akan diawasi lebih daripada 300 orang pekerja perubatan.

Pusat Perubatan New York Javits Center akan bertindak sebagai hospital sementara dengan empat fasiliti berasingan yang bakal menempatkan kira-kira 250 unit katil setiap satu bagi menampung kebanjiran pesakit ketika wabak COVID-19 melanda.

 


Menurut Gabenor New York, Andrew Cuomo berkata, hospital sementara ini akan mula beroperasi sepenuhnya menjelang minggu hadapan dan turut dilengkapi dengan peralatan perubatan seperti ventilator, alat bantuan pernafasan, dan bekalan ubat-ubatan.

Ketika ini, New York sedang berhadapan dengan 25,000 kes positif COVID-19 yang merangkumi 7 peratus daripada populasi dan disifatkan sebagai satu peningkatan yang cukup pantas, menurut laporan New York Times.

Sumber: Business Insider

Add new comment

Careta Ad