Reka Bentuk dan Teknologi
Magnite menampilkan reka bentuk SUV kompak yang mantap, dilengkapi jeriji sarang lebah, kemasan dwi-tona, lampu LED, rim potongan berlian 16 inci dan rel bumbung yang berfungsi.
Ruang dalaman kabin mempunyai kemasan kulit dwi-tona premium pada panel instrumen dan riasan pintu.
Kerusi balutan kulit dwi-tona MODURE dengan pelindung haba bukan sahaja menambah sentuhan mewah tetapi juga membantu mengurangkan penyerapan haba.
Turut dilengkapi pencahayaan ambien boleh laras empat warna, membolehkan penumpang menyesuaikan suasana kabin mengikut mood mereka.
Ciri-ciri terkini lain seperti Penghidupan Enjin Kawalan Jauh, fungsi kunci automatik bila beredar (walk-away lock) dan fungsi buka kunci bila mendekat (approach unlock).
Sistem I-Key yang pintar mengunci kenderaan secara automatik apabila pemegang kunci beredar dan membukanya apabila mereka mendekat.
Prestasi dan Kecekapan
Magnite dikuasakan enjin 1.0 liter turbo yang menawarkan keseimbangan optimum antara penjimatan bahan api dan prestasi responsif.
Enjin ini menggunakan Mirror Bore Coating Technology yang diadaptasi daripada Nissan GT-R.
Salutan ini disembur pada silinder untuk mengurangkan geseran dan berat, sekaligus meningkatkan pengurusan haba dan kecekapan pembakaran.
Nissan 360⁰ Safety Shield
Teknologi Nissan 360⁰ Safety Shield merangkumi enam beg udara dan kerangka badan yang diperkukuh dengan 67% keluli tegangan tinggi.
Monitor Pandangan Sekeliling 360 Darjah menawarkan pandangan mata burung untuk memudahkan parkir.
Ciri keselamatan lain termasuk cermin pandang belakang automatik malap dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
Sistem brek canggih merangkumi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), dan Bantuan Brek (BA).
Magnite turut dilengkapi Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) untuk kestabilan dan Bantuan Mula Bukit (HSA).
Harga dan Jaminan
Nissan Magnite ditawarkan di Laos pada harga 583,000,000 LAK (RM113,600)
Bagi tempahan awal, pelanggan akan menerima nilai tambahan:
- Servis penyelenggaraan percuma selama setahun.
- Pemasangan cermin gelap kereta percuma.
- Alas kaki percuma.
- Satu tangki penuh petrol percuma.
Nissan Magnite Serba Baharu hadir dengan jaminan komprehensif selama 3 tahun atau 100,000 km.
Penulis: Muhamma Md Tajudin