Tambang bas ekspres tidak akan dikawal menjelang 2020, tetapi ada syaratnya

oleh Shahrim Tamrin|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Harga tambang tanpa dikawal kerajaan bagi industri bas ekspres dijangka berlaku menjelang 2020.

Senario pengangkutan awam akan memperlihatkan syarikat bas ekspres mempunyai kebebasan samada untuk menawarkan jenis perkhidmatan 'Premium' dengan tambang yang ditentukan pengusaha sendiri atau pun penawaran taraf kadar tambang murah ala 'AirAsia' dengan servis yang baik. 

Dalam erti kata lain, tiada pengawalan kadar tambang untuk perkhidmatan bas ekspres kelak yang mungkin akan menyebabkan peningkatan atau penurunan harga.

Tetapi tunggu dahulu. Sebelum anda melompat untuk protes terhadap kemungkinan terdapat kenaikan tambang, keadaan ini hanya akan berlaku jika syarikat bas ekspres berminat turut serta menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap amalan keselamatan bagi operasi seharian. 

"Hanya mereka yang serius terhadap amalan keselamatan dan mengekalkan standard (keselamatan) dan meningkatkan perkhidmatan untuk jangka masa tertentu akan menikmati liberalisasi tambang," kata seorang pegawai kanan Kementerian Pengangkutan.

 

 

Di dalam laporan Panel Kajian Cadangan (RRP) untuk tragedi bas Genting yang telah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke minggu lalu, lanskap industri bas ekspres bakal berubah jika pembaharuan dari segi amalan keselamatan berserta konsep perniagaan sihat dan berdaya saing diterima baik oleh pengusaha bas ekspres. 

 

Careta.my difahamkan bahawa Kementerian Pengangkutan bersedia untuk memenuhi permintaan pengendali bas ekspres untuk memberikan kebebasan meletakkan harga tambang tanpa kawalan kerajaan dengan syarat mereka perolehi pencapaian baik di dalam Sistem Markah Bintang Malaysia (MBSR) atau Penarafan Keselamatan Bintang (SSG).

Berdasarkan cadangan oleh Panel RRP, program SSG di bawah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan diperluaskan tahun hadapan dan seterusnya diwajibkan pada 2020 kepada seluruh industri bas pengangkutan.

"Namun dari semasa ke semasa, tidak semua pengendali bas dijamin akan menikmati tambang bebas," kata pegawai kanan itu, sambil menambah bahawa mereka yang mendapat gred rendah untuk amalan keselamatan masih tertakluk kepada kawalan tambang oleh kerajaan.

 

 

Pada masa ini, hanya 20 operator bas yang menyertai secara sukarela program SSG yang diperkenalkan sejak 2013. Pada masa ini terdapat lebih daripada 200 pengendali bas ekspres di Semenanjung.

"Insentif keselamatan akan mendorong kepada harga tambang bebas. Pengusaha perlu mencapai penilaian keselamatan yang baik sebelum kerajaan membenarkan liberalisasi tambang," kata pegawai kementerian tersebut.

"Selain itu, mekanisme ini akan mewujudkan permintaan dan tekanan pasaran di samping memberikan keyakinan kepada orang ramai. Pengguna akan berminat membeli tiket bas ekspres berdasarkan sistem gred amalan keselamatan yang diperolehi oleh syarikat bas itu. 

 

“Pilihan di tangan pengguna sama ada mereka mahukan syarikat bas dengan penarafan keselamatan yang baik atau pengusaha bas yang menawarkan tambang rendah tetapi mendapat penarafan keselamatan kurang baik," katanya lagi.

"Laporan RRP merupakan salah satu langkah awal kemampanan industri bas di negara ini. Cadangan kami juga tegas menyatakan bahawa kebajikan pemandu mesti dipertingkatkan," kata seorang ahli RRP.

 

 

Dua hari lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu Dewan Rakyat bahawa pihak kementerian bercadang menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 10 hingga 30 peratus.

Beliau menyatakan bahawa gaji rendah pemandu bas ekspres telah memaksa mereka untuk bekerja lebih masa melebihi lapan jam sehari yang telah menyebabkan amalan keselamatan terjejas. 

"Jika pengendali perkhidmatan bas ekspres memperoleh lebih banyak pendapatan dari tambang, mereka boleh menaikkan gaji pemandu dan pemandu akan menikmati suasana kerja yang lebih baik dan kebajikan terjaga. Ini akan mendorong kepada perkhidmatan dan kualiti pemanduan lebih baik dan mampu mengurangkan nahas jalanraya," kata Kamarudin, seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail Online.


 

 

Bukan sesuatu yang rahsia lagi bahawa permintaan untuk membebaskan kadar tambang tanpa kawalan kerajaan telah lama dikemukakan berulang kali kepada pentadbiran terdahulu semenjak tujuh tahun yang lalu.

Semalam, Loke telah menyatakan bahawa kajian tambang bakal dibincangkan di Mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Loke memberi jaminan bahawa maklum balas daripada semua pihak berkepentingan akan dipertimbangkan dan Kabinet yang akan membuat keputusan muktamad.

Difahamkan bahawa Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menganjurkan sesi penerangan bersama pengendali bas bulan depan untuk membincangkan dengan lebih mendalam terhadap cadangan penarafan SSG dan MBSR yang akan menjurus kepada liberalisasi tambang.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, kemalangan membabitkan 12 kenderaan iaitu bas, dua buah lori dan sembilan kereta. "…
Berita Global
Bas Elec City Town sepanjang 9 meter itu mempunyai jarak gerak 220 km dan harganya di Korea Utara…
Informasi
Berhubung isu pelancong dari luar negara yang tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL…