Tambang bas ekspres mungkin naik 30 peratus menjelang Aidilfitri

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) merayu supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan pihaknya supaya kadar tambang bas ekspres dinaikkan 30 peratus.

Pemangku Yang Dipertua PEMBAWA, Tajudin Mohamad Yunus, berkata ia berikutan kadar tambang bas ekspres yang diguna pakai sekarang adalah berdasarkan pengiraan kos pada tahun 2008.

Jelas beliau, industri pengangkutan bas ekspres yang kini semakin mencabar dengan ekuiti syarikat Bumiputera semakin berkurangan, antara lain berlaku kerana tiada kenaikan tambang sejak 11 tahun lalu, sekali gus mengakibatkan banyak syarikat bas ekspres ‘gulung tikar’.

“Kenaikan kos operasi dan kos penyelenggaraan saban tahun menyebabkan pengusaha bas ekspres semakin tersepit, malah setiap tahun banyak syarikat merekodkan kerugian.

“Sejak 2008, kos diesel meningkat hampir 50 peratus, subsidi bahan api turut dikurangkan sehingga 30 peratus.

“Justeru, PEMBAWA sangat mengharapkan kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya demi survival pengusaha Bumiputera khususnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PEMBAWA di sini, hari ini.

Tajudin berkata pada 8 April lalu, beliau ada menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, antara kandungan surat itu adalah untuk meminta kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan segera kenaikan kadar tambang bas.

“Selain itu, PEMBAWA juga mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan subsidi diesel kepada pengusaha bas ekspres selain memberi diskaun tol bagi mengurangkan bebanan pengusaha,” katanya.

Sumber: Berita Harian