Tambahan trip feri Kuala Kedah-Langkawi ikut permintaan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jumlah perkhidmatan trip feri dari Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah boleh ditambah dari semasa ke semasa bergantung pada permintaan daripada penumpang.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Datuk Azman Nasrudin berkata, pada masa ini permintaan penumpang hanya sekadar lima trip setiap hari.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

 

"Kerja pengerukan untuk keselamatan pelayaran bagi alur pelayaran Kuala Kedah telah siap sepenuhnya pada 26 Disember 2022 dan memandangkan ia telah siap, pihak operator feri dapat memenuhi obligasi minimum untuk menyediakan sebanyak lima trip bagi laluan pelayaran Kuala Kedah-Langkawi-Kuala Kedah.

 

"Trip mencukupi telah diberikan kepada operator feri dengan mengambil kira keupayaan Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah dalam menerima kemasukan feri pada satu-satu masa serta keupayaan ruang menunggu bagi penumpang di terminal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

 

Azman berkata, operator feri mempunyai keupayaan 12 feri dan jumlah itu mencukupi, namun pihak operator boleh memohon jadual perjalanan tambahan hingga maksimum 12 trip berdasarkan permintaan penumpang.

 

"Pihak JLM (Jabatan Laut Malaysia) tiada ketegahan dalam memberi kebenaran untuk merancakkan lagi ekonomi sektor pelancongan di pulau legenda itu. Pada Mei depan, akan berlangsung Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima), jadi sekiranya mendapat permintaan daripada penumpang, jumlah perjalanan akan ditambah,” katanya.

 

 

Bernama