Tamat produksi - tiada lagi model 370Z Roadster ditawarkan untuk pasaran US

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk sebuah model zaman moden, 10 tahun merupakan satu tempoh yang sangat lama memandangkan kitaran hayat sesebuah kenderaan biasanya berada dalam lingkungan empat hingga lima tahun sebelum ia bertukar generasi baharu.

Samalah juga halnya dengan sebuah kereta sports pacuan roda belakang daripada Nissan, iaitu Nissan 370Z yang mana sebenarnya sudah agak lama tanpa sebarang perubahan yang ketara. 

Apa yang wujud baru-baru ini hanyalah sebuah model ulang tahun yang ke-50 tribut kepada jentera lumba Fairlady Z yang dikendalikan oleh BRE - hanya untuk pasaran Amerika Syarikat - tanpa sebarang peningkatan kuasa. 

Untuk menambahkan lagi perit kepada luka yang dialami, Nissan Amerika membuat keputusan untuk menghentikan produksi model 370Z Roadster dan ini disahkan sendiri oleh wakil daripada Nissan, Kyle Torrens.

 


Menurut Torrens, Nissan tidak akan menawarkan varian Roadster untuk generasi semasa Z bermula tahun hadapan (MY 2020).

Walaupun tiada sebarang butiran lanjut, adalah dapat diandaikan bahawa jualan yang merosot merupakan faktor Nissan menghentikan penjualan model Roadster tersebut di US. 

Ini dibuktikan sejak daripada tahun 2015, jualan model Roadster didapati menurun mendadak dan tahun lalu sahaja, Nissan mampu menjual sekitar 3,468 unit sahaja. 

Walaupun varian Roadster ditamatkan produksi, varian 370Z Coupe pula akan kekal diteruskan memandangkan ia masih lagi menjadi perhatian di kalangan para peminatnya, ditambah pula dengan harga jualan yang lebih rendah berbanding varian Roadster. 

Model pengganti Fairlady Z pula masih samar-samar kelihatan dan ia juga tidak dapat mengelak daripada menerima tempias elektrifikasi trenkuasa sebagaimana trend semasa dunia pada ketika ini.