Menurut laporan Sinar Harian terdapat beberapa kenderaan pacuan empat roda bercermin gelap disyaki tonto juga berada berhampiran lori terbabit.
Dipercayai kenderaan berat itu mahu mengelak daripada pemeriksaan JPJ untuk tindakan kesalahan lebih muatan.
Difahamkan, jarak dari stesen minyak terbabit menuju ke Stesen Penguat kuasa (SPK) Gombak, sejauh kira-kira empat kilometer.
Selain itu, Op Gempur Teknikal yang dilaksanakan JPJ Kuala Lumpur bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut mengesan pelbagai kesalahan teknikal membabitkan kenderaan perdagangan.
Antaranya, menggunakan tayar celup yang sudah botak serta pemandu warga asing.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi selama sembilan jam bermula jam 7 pagi telah memeriksa 315 kenderaan barangan serta perkhidmatan awam.
"Hasil pemeriksaan telah mengambil tindakan ke atas 41 kenderaan barangan selain sitaan lima lori termasuk jenis Roll On Roll Off (roro).
Mengenai lori yang diparkir di bahu jalan, kata Hamidi, itu taktik biasa pemandu bagi mengelak daripada pemeriksaan JPJ.
"Mereka ini akan tunggu sehingga kita tamat operasi. Tapi JPJ akan mengambil tindakan arah lori-lori ini bergerak bagi memastikan tidak menghalang lalu lintas," ujarnya.
Tegasnya, operasi ini dijalankan susulan beberapa siri kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan.
"Tindakan lebih berat akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Kaedah-Kaedah di bawah akta berkaitan," ujarnya.
"Sebanyak 119 kesalahan dikesan dan lebih muatan direkodkan paling banyak iaitu 56 kes, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (12 kes), tiada lesen vokasional (10 kes), kesalahan teknikal (6 kes) dan selebihnya lain-lain kes," katanya kepada pemberita di SPK Gombak di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, selain itu, ujian saringan air kencing yang dilaksanakan AADK telah mengesan tiga pemandu bas pelancong positif dadah, manakala MOTAC satu kesalahan.