Katanya, skop penguatkuasaan lebih menumpukan kepada pemasangan dan kelengkapan tali pinggang keledar bagi bas yang dibuat mulai 1 Januari 2020, kecuali bas henti-henti.
"Pada masa sama, pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan pemandu dan penumpang bas.
"Hasil daripada operasi bermula 1 hingga 30 Julai lalu, seramai tujuh pemandu dan 27 penumpang bas tidak memakai tali pinggang keledar dan dikenakan notis saman," katanya.
JPJ mengingatkan semua pemandu dan penumpang untuk sentiasa mematuhi peraturan dan memastikan semua kenderaan dilengkapi dengan sistem tali pinggang keledar yang berfungsi dengan baik.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ dalam memastikan semua kenderaan mematuhi piawaian keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan maut di jalan raya," katanya.
Mengulas tindakan menahan sebuah bas ekspres meneruskan perjalanan dari TSK ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), beliau berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian selepas mendapati tahap ketebalan bunga tayar bas terbabit tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Berikutan itu katanya, syarikat terbabit diminta untuk menukar tayar atau menggantikan bas lain untuk membawa 27 penumpang ke destinasi berkenaan.
"Tindakan itu dilaksanakan atas faktor keselamatan dan syarikat terbabit membuat keputusan bas gantian sebelum dibenarkan membawa penumpang.
"Pemeriksaan terhadap bas gentian itu juga dilaksanakan secara keseluruhan membabitkan semakan dokumen bas, pemandu, tayar, sistem brek, pelaksanaan pemakaian tali pinggang keledar," katanya.