Taj Aiman raih tempat kedua perlumbaan e-sport GR Supra GT Asia 2020!

oleh Mohamad Hanif|
Peserta dari Malaysia, Taj Izrin Aiman Taj Madira telah mengharumkan nama negara apabila berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan dan membawa pulang hadiah tunai US$3,000 dalam pertandingan sukan elektronik serantau Piala GT Supra GT Asia 2020.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Taj Aiman merupakan pelumba maya terbaik Malaysia yang turut diiringi rakan sepasukan, Muhammad Iqbal Ahmad Suji yang menduduki posisi keempat keseluruhan.

Sementara itu, wakil ketiga negara, Meor Hafiz pula berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 15 terbaik.

Dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pasifik (TMAP) dengan keputusan akhir yang dinilai daripada tiga perlumbaan sengit menggunakan jentera lumba GR Supra RZ20, Piala GR Supra GT Asia mempertemukan 15 pelumba maya terbaik dari lima negara — Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina dan India.

Peserta Singapura, AR Muhammad Aleef dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan dan membawa pulang hadiah utama US$6,000, manakala pelumba dari Thailand, Nathayos Sirigaya di tempat ketiga dengan hadiah US$1,500.

Kempen Malaysia dalam saingan ini bermula sangat meyakinkan dalam Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa Fuji Speedway dengan Iqbal Suji dan Taj Aiman masing-masing menamatkan saingan tujuh pusingan itu pada kedudukan kedua dan ketiga.

Muhammad Aleef dari Singapura pula berjaya mendahului perlumbaan dari awal hingga akhir, dengan catatan masa enam saat di depan. Taj Aiman, yang juga merupakan juara dalam Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports, sempat memberi saingan sengit di awal perlumbaan sebelum melakukan kesilapan yang menyebabkannya dikenakan penalti satu saat, membolehkan Iqbal memintas untuk berada di kedudukan kedua.

Muhammad Aleef juga muncul juara dalam Perlumbaan 2 di litar jalanan Tokyo Expressway, dengan Sirigaya di tempat kedua, sementara pelumba Filipina Terence Lallave di tempat ketiga.Taj Aiman menduduki posisi keempat dan seorang lagi peserta Singapura, Jason Tay di tempat kelima. Iqbal Suji pula berhasil menyempurnakan perlumbaan lima pusingan dalam litar 7.3 km berkenaan di tempat ketujuh, sementara Meor Hafiz di kedudukan ke-14.

Memasuki perlumbaan ketiga dan terakhir di litar Nurburgring dengan jarak 21 km, Taj Aiman pada mulanya masih mempunyai peluang untuk menang kedudukan pertama keseluruhan. Dia bangkit untuk mencatatkan masa terpantas dan menduduki tempat pertama dalam perlumbaan tiga pusingan itu, mengatasi Muhammad Aleef dan Sirigaya yang juga mempunyai peluang yang sama untuk muncul sebagai juara keseluruhan.
 


Taj Aiman menjadi pendahulu bagi dua pusingan terawal tanpa banyak cabaran, diikut rapat oleh Sirigaya dan Muhammad Aleef. Ketiga-tiga pemandu menggunakan strategi perlumbaan yang hampir serupa dengan melakukan hentian pit pada masa yang sama.

Masuk semula dalam perlumbaan untuk pusingan terakhir, Sirigaya berjaya memintas Taj Aiman untuk muncul pendahulu, tetapi kemudian dikenakan penalti satu saat kerana memandu secara merbahaya. Itu membolehkan Taj Aiman kembali mendahului dan berjaya mempertahankan kedudukan itu hingga akhir perlumbaan. Sirigaya mengisi tempat kedua, sementara Muhammad Aleef di tempat ketiga.

Tetapi, dengan tiga mata yang bermakna untuk mendahului Taj Aiman, Muhammad Aleef muncul sebagai juara keseluruhan. Iqbal Suji pula menduduki tangga ke-empat, manakala Meor Hafiz di kedudukan ke-12.

"Tahun ini sangat menakjubkan buat saya kerana muncul juara dalam Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports, kemudian diberi pula penghormatan untuk mewakili Malaysia dan menamatkan perlumbaan pada kedudukan kedua dalam Piala GR Supra GT Asia 2020. Semua ini satu pengalaman yang mahal," jelas Taj Aiman.

"Menduduki tempat kedua dengan perbezaan hanya tiga mata adalah sukar diterima, tetapi dalam perlumbaan saya perlu akur," tambahnya.

Dalam keadaan tahun ini yang sangat mencabar kerana berhadapan dengan pandemik Covid-19, perlumbaan maya telah berkembang dengan sangat pesat, membolehkan Toyota meneruskan kempen tersebut baik di peringkat tempatan mahupun global.

 


Di Malaysia, UMW Toyota Motor terus menjadi yang pertama, dan kekal sebagai satu-satunya jenama kenderaan yang dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti e-perlumbaan yang semakin berkembang melalui penganjuran Kejuaraan Toyota GR Velocity sejak tiga tahun lalu, yang menjadi sebuah program penting yang mendorong kepada penganjuran siri Piala GR Supra GT Asia.

"Dengan perlumbaan simulator yang semakin kompetitif dan disifatkan sebagai batu loncatan yang sangat penting oleh sesetengah pelumba dan pasukan sebenar, adalah sangat penting untuk pelumba-pelumba maya Malaysia diberi peluang bersaing di peringkat serantau serta antarabangsa. Di Toyota, kami amat berbangga kerana mampu menyediakan pendedahan untuk mereka," jelas Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, sumbangan syarikat itu terhadap sukan permotoran di Malaysia akan diteruskan di kedua-dua litar sebenar ataupun litar maya memandangkan ia terus berperanan menjadi jambatan yang menghubungkan dunia sukan permotoran dengan khalayak umum.

"Sangat menarik untuk melihat sejauh mana perlumbaan maya ini telah pergi, dan dalam banyak keadaan, ia hari ini menjadi elemen penting dalam merancakkan lagi pembelajaran dan pembangunan barisan pemandu untuk litar. Perlumbaan maya juga sangat penting dalam memupuk minat dan penghargaan terhadap sukan permotoran. Bergerak ke hadapan, UMWT akan terus melabur untuk pengembangan potensinya," jelas Ravindran, yang turut menambah
bahawa sebahagian daripada inisiatif UMWT termasuklah pelancaran Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing baru-baru ini, yang mensasarkan untuk memudahkan peralihan pelumba go-kart dan simulator muda kepada perlumbaan sebenar

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Terdapat beberapa buah model khas yang dipamerkan pada acara Beyond Zero, seperti berikut:  …
Telah Diuji
Ia tampil dengan pakej yang serba lengkap - rupa paras yang sporti, tiga pintu (kedekut penumpang…
Pelancaran
Dari segi kuasa, Toyota Vios 2023 dijana dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter (2NR-VE)…