Tahun 2020 - yang menarik bakal menanti rakyat Malaysia (selain kereta terbang)

oleh Mohamad Hanif|
Tahun 2019 hampir selesai melabuhkan tirainya dan tahun 2020 yang bakal menjelang akan menghidangkan kita dengan beberapa buah pelancaran model baharu serta model facelift yang bakal mewarnai jalan raya Malaysia yang serba indah, terbilang dan banyak juga lubangnya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Anda mungkin sudah mempunyai target tersendiri untuk tahun ini, jadi jom ikuti kami melihat senarai model-model menarik yang bakal membuat kemunculan di tahun baharu ini. 

 

Perodua


Kita mulakan dengan syarikat automotif tempatan terlebih dahulu di mana syarikat Rawang ini bakal hadir dengan tiga model berlainan segmen iaitu sedan (Bezza), SUV (D55L) dan juga MPV (D27A).

Kehadiran gambar-gambar Perodua Bezza 2020 facelift sudah pun tersebar di laman maya memperlihatkan kemaskini yang lebih malar segar kepada sedan segmen A tersebut. 

Sama seperti Perodua Axia 2019, Perodua Bezza 2020 juga didatangkan dengan kemaskini berbentuk visual serta penambahan ciri Advanced Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) untuk sesetengah varian.
 


Namun, rakyat Malaysia mungkin lebih ternanti-nantikan kehadiran SUV Perodua D55L yang dikhabarkan bakal menggunakan model Daihatsu Rocky/Toyota Raize sebagai asas, dengan enjin tiga silinder 1.0 liter turbo (98 PS/140 Nm) dan transmisi CVT.

Perodua juga kini giat menjalankan ujikaji terhadap sistem ADAS seperti mana yang dibuktikan dengan kehadiran Daihatsu Thor di tanah air beberapa bulan yang lalu. 

Akhir sekali, MPV Perodua (kod D27A) yang bakal menggantikan peranan Alza yang sudah pun 10 tahun berada di atas jalan raya. 

 

Honda


Antara yang bakal menjengah pasaran Malaysia sudah tentu sedan segmen B, Honda City generasi baharu yang dilancarkan di Thailand bulan lalu.

Untuk pasaran Thailand, Honda City 2020 didatangkan dengan enjin 1.0 liter tiga silinder sebaris berkuasa turbo bagi memenuhi syarat Eco Car Phase II. 

Adalah selamat untuk diandaikan Honda City 2020 berkemungkinan besar akan didatangkan dengan enjin 1.5 liter aspirasi natural memandangkan Malaysia tidak memiliki regulasi seketat Thailand. 

Dan mungkin juga disebabkan rakyat Malaysia yang sangat skeptikal dengan enjin 1.0 liter yang dikatakan tidak mampu mendaki Genting Highlands hari-hari.
 


Selain daripada itu, umum mengetahui kehadiran Honda Civic facelift seperti mana yang kami pernah siarkan pandu uji ringkas beberapa bulan yang lalu serta spesifikasi yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia. 

Namun, sehingga kini Honda Malaysia masih belum memutuskan bilakah masanya yang sesuai untuk pelancaran rasmi model facelift tersebut. 

Beralih kepada sedan segmen D, Honda Accord 2020 (generasi ke-10) juga dikhabarkan bakal menjejaki pasaran Malaysia, namun tiada sebarang tempoh dapat diberikan kepada para pembaca. 

Sebuah lagi model crossover Honda, BR-V telah pun menerima kemaskini berbentuk kosmetik pada Indonesia International Motor Show 2019, membawakan perubahan seperti reka bentuk yang lebih malar segar, dan penampilan kabin yang lebih sporti. 
 


Menyentuh soal Honda Jazz 2020, tidak dapat dipastikan sama ada model ini akan dibawa masuk ataupun tidak memandangkan sebelum ini terdapat khabar angin model tersebut tidak akan dibawa masuk untuk pasaran Asia termasuk Malaysia. 

Ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran pendaftaran nama City Hatchback di dalam MyIPO berdasarkan penemuan oleh rakan media Funtasticko. 

 

Proton


Yang menarik perhatian umum dan juga mengundang kontroversi. 

Proton X70 CKD yang sepatutnya dijadualkan pelancarannya hujung tahun lalu telah pun dianjak ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. 

Berdasarkan laporan daripada rakan media Wapcar, Proton X70 yang dikhabarkan bakal menerima nadi 1.5 liter itu tidak akan dijual untuk pasaran Malaysia, akan tetapi dikhususkan kepada pasaran eksport yang lebih ketat peraturan emisinya. 

Model pemasangan tempatan ini akan kekal dengan nadi 1.8 liter turbo yang digandingkan dengan transmisi automatik 6 kelajuan, serta sistem infotainmen yang terkini dan ciri tailgate berkuasa. 
 


Sebuah lagi SUV Geely yang bakal diletakkan logo Proton adalah Proton X50 (Geely Binyue/Geely Coolray) yang kini sudah pun mempunyai persatuan pemiliknya yang tersendiri di laman Facebook.

SUV segmen B ini sudah pun dilihat diuji di atas jalan raya Malaysia, namun pelancaran rasmi X50 ini akan bergantung kepada tahap penerimaan rakyat terhadap Proton X70 CKD.

Melihatkan kepada peranan kilang Tanjung Malim ketika ini sebagai hab pemasangan kenderaan Geely, dan berdasarkan nama-nama model baharu yang bakal diletakkan pada kenderaan Proton akan datang, apakah yang akan terjadi kepada unit R&D Proton?

Adakah mereka akan digelar sebagai unit kejuruteraan bumper dan logo semata-mata? 
 

Toyota


Tahun 2019 telah pun menyaksikan beberapa buah model menarik dibawa masuk oleh UMW Toyota Motors, seperti Toyota Yaris, Toyota Vios, Toyota Corolla, serta model sports Toyota GR Supra. 

Mengikut sumber, pengedar rasmi kenderaan Toyota itu bakal membawakan sebuah lagi model SUV iaitu Toyota RAV4 untuk pasaran Malaysia.

Memandangkan ia merupakan unit import sepenuhnya dari Jepun, barang harus diingat, harganya juga tidaklah semurah yang disangka. 
 


Seperti mana yang kita semua maklum bahawa orang kuat Toyota sendiri sudah pun aktif di dalam sukan permotoran, jadi tidak mustahil mereka akan membawakan Toyota GR Yaris spesifikasi Eropah, dengan enjin 1.6 liter turbo, sistem pacuan semua roda untuk menemani GR Supra di dalam GR Garage.

Lebih manis jika hot hatch tersebut membuat kemunculan dalam Festival Toyota Gazoo Racing, kan Toyota?

 

Nissan


Tahun 2020, anda sudah boleh melupakan imej Almera lama dan gantikannya dengan imej Nissan Almera yang lebih sporti dan lebih menawan.

Ini kerana pihak Edaran Tan Chong Motor sendiri sudah pun mengesahkan akan membawa masuk model sedan segmen B ini ke pasaran Malaysia untuk tahun 2020. 

Nissan Almera merupakan antara model yang akan mewarnai jalan raya Malaysia diikuti oleh Nissan Kicks (crossover segmen B) dan juga Nissan Sylphy, sedan segmen C yang akan bersaing secara terus dengan Civic dan Corolla. 

Rekaan Almera dan Sylphy boleh tahan menarik juga jika dibandingkan dengan kenderaan Nissan terdahulu, jadi tahun 2020 bakal menjadi satu tahun yang menarik buat ETCM. 

 

Mitsubishi


Setelah berteka-teki, akhirnya Mitsubishi mengakui akan membawa masuk model MPV Mitsubishi Xpander ke pasaran Malaysia untuk tahun 2020. 

Pesaing kepada Toyota Rush, Perodua Aruz, dan Honda BR-V ini akan dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan dengan spesifikasi enjin 1.5 liter yang memacu roda hadapan dan transmisi automatik empat nisbah kelajuan.

 

Mazda


Pendatang baharu kepada keluarga SUV Mazda, Mazda CX-30 sudah pun membuat kemunculan rasmi di Malaysia dan ia diposisikan antara model CX-3 dan juga CX-5. 

Harga jualan anggaran juga sudah pun diketahui dan model ini sudah pun boleh dilihat dengan lebih dekat di pusat pameran Mazda yang berhampiran. 

Harus diiingat, Mazda CX-30 merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Selain daripada Mazda CX-30, hatchback Mazda 2 juga berkemungkinan besar akan menuju ke pasaran Malaysia, melihatkan kepada aktifnya Mazda Malaysia memperkenalkan model-model baharu seperti yang anda lihat pada tahun lalu. 

Mazda 2 menerima kemaskini minimal di bahagian luaran menampakkan rupa bentuk yang lebih garang, dan membawakan penambahbaikan kepada sistem hiburan yang kini menawarkan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

 

Volkswagen


Penawaran sedan premium baharu dari Volkswagen Passenger Car Malaysia, VW Arteon dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat, setelah beberapa bulan diperlihatkan di pusat-pusat pameran di seluruh Malaysia. 

Namun, harganya juga tidaklah murah, memandangkan VPCM memberikan bayangan harga jualan Arteon 2020 bakal mencecah harga setinggi RM300,000. 

Selain daripada Arteon, Volkswagen Passat facelift juga dijadualkan akan membuat kemunculan rasmi di Malaysia pada tahun ini. 

 

BMW


Beralih kepada jenama-jenama mewah, BMW merupakan antara yang teraktif dalam memperkenalkan model-model baharu di bawah jenamanya pada tahun lalu. 

Untuk tahun 2020, BMW dikhabarkan akan menawarkan varian terendah kepada sedan 3 Series, iaitu BMW 320i yang membawakan nadi yang sama dengan varian 330i namun dengan talaan yang lebih rendah (184 PS/300 Nm).

Selain daripada itu, antara model yang berpotensi untuk dibawa masuk termasuklah BMW 1 Series generasi baharu, serta SUV X1 facelift dan SUV BMW X6 2020

Jentera BMW 2 Series Gran Coupe juga turut dilihat bakal diperkenalkan pada tahun 2020 ini, sebagai jawapan kepada Mercedes-Benz CLA. 

 

Mercedes-Benz


Jenama mewah yang berasal dari Stuttgart, Jerman ini tidak perlu diperkenalkan lagi, kerana setiap kali acara pelancaran, ia tetap menerima sambutan yang cukup hangat daripada para pembaca Careta. 

Untuk tahun 2020, antara yang bakal menuju ke tanah air tercinta ini termasuklah model SUV GLB-Class yang telah dilaporkan oleh kami beberapa ketika dahulu, sedan coupe CLA-Class juga generasi baharu GLA-Class yang selesai dilancarkan baru-baru ini. 

 


Memandangkan Mercedes juga aktif membawa masuk model-pmodel berprestasi tinggi di bawah jenama AMG, anda mungkin boleh menjangkakan beberapa model seperti A 45 AMG hatchback, serta CLA 45 AMG bagi melengkapkan lagi barisan keluarga AMG. 

 

Porsche


Ternyata, untuk tahun 2020, mata-mata sudah pun tidak sabar untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana kereta elektrik pertama Porsche beraksi di atas jalan raya Malaysia. 

Porsche Taycan telah pun diperlihatkan secara rasmi di Singapura beberapa minggu yang lalu bersempena tayangan filem Star Wars, dan menurut sumber dari Porsche Asia Pasific, Malaysia akan menerima unit Taycan menjelang bulan Ogos nanti. 

Porsche Taycan Turbo dan Turbo S akan diperkenalkan terlebih dahulu, sebelum Sime Darby Auto Performance membawa masuk varian aras mula Porsche Taycan 4S. 

Berita Berkenaan

Informasi
Dalam satu kenyataan, pelanjutan tersebut adalah bersempena sambutan ambang tahun baru 2024 yang…
Berita Domestik
Bersempena menyambut Tahun Baru Cina yang lepas, UMWT menawarkan ansuran bulanan dari serendah…
Berita Domestik
Buat para pembeli Subaru Forester, TC Subaru menawarkan rebat lebih daripada RM36,999 yang…