Tahukah anda, teh juga berguna sebagai bahan bakar?

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bagi geng-geng baca tajuk sahaja, mereka akan menyangka teh yang kita minum seharian (teh o ais, teh o limau ais, teh susu dsb) boleh sahaja digunakan terus sebagai bahan bakar. 

Kalau begitu, banggalah abang-abang pembancuh teh di kedai mamak dan masjid kerana teh bancuhan mereka boleh dijadikan sebagai bahan bakar menggantikan RON95.

Dan timbul pula kelompok yang mengambil kesempatan dengan menggunakan uncang teh sebagai alat jimat minyak yang dilekatkan di penutup tangki bahan api. 

Err..

Namun hakikatnya, ia tidaklah semudah menuang aditif ke dalam tangki minyak dan terus boleh berlumba dengan geng-geng acah kanjo. 

Untuk menjadikan produk teh kepada bahan bakar, banyak proses yang perlu dibuat sebelum ia benar-benar bertukar sifatnya. 

Dan produk teh yang dimaksudkan adalah teh kombucha - teh yang ditapai dengan bakteria dan yis dihasilkan untuk tujuan kesihatan
 


Brew Dr, sebuah jenama teh kombucha di Oregon telah menemukan cara unik bagi menukarkan sifat teh kombucha ini kepada bahan bakar di dalam kenderaan. 

Dalam teh kombucha biasa, ia mengandungi nilai Alcohol by Volume (ABV) serendah 0.5% sehingga 1.5%, namun dengan cara unik ini ia mampu menurunkan nilai ABV produk akhir tersebut sehingga 0.1%. 

Berikut merupakan cara bagaimana teh kombucha ini boleh ditukarkan kepada cecair bahan bakar:

1. Teh biasa telah ditambah gula dan ditapis dengan alat berukuran 500-mikron untuk mengasingkan sisa dedaun teh. 

2. 'Teh manis' itu tadi kemudian ditapai di dalam tangki yang berisi lebih 7,570 liter kultur simbiotik dikenali dengan nama SCOBY selama dua hingga empat minggu. 

Proses ini menghasilkan produk yang dinamakan teh kombucha, namun ia terlalu beralkohol untuk dijual sebagai produk minuman. 

3. Teh kombucha ini tadi dipanaskan kepada suhu 104 darjah Celcius sebelum disalurkan kepada peranti spinning cone column (SCC). 

Proses di SCC ini mengasingkan etanol (bernilai 12-14 peratus ABV) tanpa menjejaskan rasa teh tadi. 

Produk akhir daripada SCC ini ialah kombucha dengan nilai ABV serendah 0.1%.


4. Etanol diasingkan mengikut 'perasa asal' teh tadi dimasukkan ke dalam tangki yang disejukkan sehinggalah ia mencapai volum 18,927 liter. 

Etanol ini kemudian disalurkan kepada SCC sekali lagi untuk mendapatkan hasil akhir bernilai 40% ABV. 

Sebagai makluman, minuman whisky mempunyai nilai ABV yang sama. 

5. Manakala etanol selebihnya akan dihantar ke Pacific Ethanol di Boardman, Oregon di mana ia akan ditapai sekali lagi dengan stok jagung dan menjalani proses penyulingan bagi membuang sisa jagung. 

Hasil daripada proses ini akan ditapis dengan penapis molekular untuk menghasilkan etanol asli. 

6. Etanol yang terhasil ini tadi akan dicampurkan dengan gasoline mengikut nisbah 90:10 sebelum diedarkan kepada stesen minyak di Portland. 

 

Sumber: Popular Mechanics