Lari dari kebiasaan sedan segmen B, Nissan Almera kini dikuasakan oleh nadi tiga silinder sebaris 1.0 liter HR10DET, berupaya menghasilkan 100 PS dan daya kilas 151 Nm yang masuk seawal putaran enjin 2,400 sehingga 4,000 rpm.
Beberapa teknologi moden diterapkan di dalam pembangunan enjin Almera ini, seperti contoh penggunaan pintu sisa elektronik (Electronic Wastegate) baharu yang dilengkapi dengan penderia yang mampu membaca dan mengawal kadar tekanan turbo.
Ia sekaligus berupaya mengurangkan kesan turbo lag dan memberikan pecutan yang lebih pantas.
Selain daripada itu, Nissan Almera Turbo juga membawakan teknologi Mirror Bore Coating yang diadaptasi daripada kereta sports Nissan GT-R.
Teknologi Mirror Bore Coating ini merupakan satu teknologi yang berfungsi mengurangkan kadar geseran pada komponen bore silinder menerusi satu lapisan salutan besi nipis setebal 0.2 mm pada dinding di dalam.
Jika dibandingkan dengan pelapik silinder yang biasanya mempunyai ketebalan 2 mm, salutan ini menawarkan aliran haba yang lebih baik, selain meningkatkan prestasi penyejukan, mengurangkan masalah engine knocking, sekaligus menjadikan pemanduan lebih berkuasa dan menjimatkan.
Digandingkan dengan transmisi CVT Xtronic (dan D-Step Logic System), Nissan Almera mampu menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dan mampu bergerak sejauh 650 km menggunakan satu tangki bahan api penuh.
Sistem D-Step Logic merupakan sistem perisian yang menggunakan input seperti kelajuan kenderaan, posisi pedal minyak dan pecutan bagi menentukan nisbah gear yang ideal sekaligus menawarkan pecutan yang lancar.
Dengan sistem ini, pemandu boleh merasasi sensasi penukaran gear seperti transmisi automatik konvensional, dengan kelancaran kotak gear CVT, serta pecutan yang lebih sporti menerusi mod Sport yang tersedia.
Enjin HR10DET itu juga turut mengadaptasi Air Intercooler System yang menyalurkan udara sejuk termampat kepada komponen turbo, dan diposisikan di hadapan kenderaan di mana aliran udara mampu dialirkan sepenuhnya, terutama kereta sedang bergerak.
Untuk spesifikasi lanjut Nissan Almera Turbo, anda boleh klik pautan di bawah: