Tahukah anda? Model konsep Maserati Boomerang ini usianya 50 tahun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Maserati Boomerang
Maserati Boomerang
Bentuk futuristik dengan usia 50 tahun. Inilah Maserati Boomerang yang dipertontonkan di Pameran Kenderaan Geneva pada 9 Mac 1972.

Kereta konsep ini adalah hasil tangan pereka terkenal Giorgetto Giugiaro dan dikeluarkan oleh Italdesign.

Model mock up asalnya dibawa ke Pameran Kenderaan Turin 1971 dan hanya sebuah dihasilkan serta didatfarkan dan dipertontonkan di Geneva pada tahun 1972.

Italdesign menggunakan casis dan komponen mekanikal dari Maserati Bora dengan enjin 4,719 cc.

Bora adalah model jalanan Maserati yang dikeluarkan pada tahun 1971 yang juga direka Giorgetto Giugiaro.
Maserati Boomerang

 

Enjin 4.7 liter V8 pada Boomerang berkuasa 317 hp dengan kelajuan hampir 300 km/j. Boomerang menggunakan transmisi manual lima kelajuan dan enjin memacu roda belakang.

Untuk sebuah model era 70-an, angka itu adalah luar biasa.

Model sport coupé dua tempat duduk ini tidak pernah dikeluarkan kepada umum namun DNA gayaan kekal pada seni buatan Giugiaro yang lain.

Bentuk baji (wedge) sebegini dikembangkan kepada beberapa kereta sport jalanan termasuk model penumpang yang dijual kepada orang ramai.

Jika ada yang terpesona dengan reka bentuk kereta hari ini yang tajam dan agresif, rekaan sebegitu sudah berusia puluhan tahun.

Paksi reka bentuk Boomerang adalah garisan melintang yang membahagikannya kepada dua dengan cermin depan yang landai dan bumbung panoramik.

 

Maserati Boomerang

 

Tingkap sisi dipisahkan kepada dua manakala lampu depan tersorok ke dalam dan garisan pada seksyen depan kemas bersimetri.

Satu lagi perkara menarik ialah gugusan meter dipasang terus pada stereng tanpa rongga.

Satu-satunya unit Boomerang dibawa ke banyak pameran antarabangsa dan sudah beberapa kali bertukar pemilik.

Seperti yang dikatakan di awal artikel, Boomerang tidak dikeluarkan kepada umum namun DNA Giugiaro ini boleh dilihat pada banyak buah model lain.

Sebuah lagi jenama hebat juga mempunyai reka bentuk baji sebegini dan walaupun hasil tangan pereka berbeza, kedua-dua pengeluar tersebut berasal dari Itali.

Penulis: Muhammad Md Tajudin