Kedua-dua bahan bakar tersebut tidak sama, LPG merujuk kepada Liquid Petroleum Gas yang diperbuat daripada propane dan amaun kecil butane.
NGV pula bermaksud Natural Gas Vehicle dengan bahan daripada gas asli.
Hari ini jarang kedengaran kereta yang menggunakan dua bahan bakar tersebut dan kesetiaan Dacia layak dipuji dan diberi perhatian.
Model keluaran Dacia yang menggunakan LPG ialah Duster, Sandero dan Logan MCV dengan nama khas TCe 100 Bi-Fuel.
Akronim tersebut adalah ringkasan kepada enjin 1.0 turbo tiga silinder dua bahan bakar yang menggabungkan petrol dan LPG.
Menarik bukan? Guna enjin turbo dan bahan bakar LPG. Sistem LPG disatukan dengan enjin petrol melalui integrasi sistem suntikan.
Penukaran dari petrol kepada LPG ringkas sahaja, ia boleh dilakukan secara manual atau automatik apabila tangki LPG menjadi kosong.
Bagi membantu pemandu, ada meter khas bagi mengawai aras tangki LPG dan paparan yang menunjukkan baki pemanduan.
Mengisi tangki pula cepat dan pantas, hanya memerlukan dua minit.
Menurut Dacia, gabungan kedua-dua bahan bakar tersebut boleh digunakan lebih daripada 620 batu (998 km) di samping pengurangan CO2 dalam mod LGP.
Enjin Dacia Duster mempunyai output 100 hp dan tork 160 Nm. Enjin itu dipadan bersama transmisi lima kelajuan manual dengan pacuan roda depan.
Kelajuan maksimum ialah 170 km/j (167 km/j bi-fuel) manakala pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 14.4 saat (13.8 saat bi-fuel).
Berkenaan praktikaliti, Dacia memaklumkan ruang but tidak terganggu walaupun dengan tampahan tangki LPG.
Harga pula berpatutan memandangkan Dacia sendiri adalah jenama ekonomikal.
Sebagai contoh, varian asas Dacia Duster Essential TCe 100 4x2 Bi-Fuel ditawarkan pada harga permulaan GBP13,195 atau bersamaan RM70,233.
Penawaran teknologi LPG menunjukkan satu perkara, ia masih relevan dan hanya perlu sempurnakan teknologi sedia ada.
Lagi pula teknologi bi-fuel sudah lama dengan pihak ketiga seperti bengkel dan mekanik sudah tahu mengenainya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin