Tabiat pemanduan boleh dedah petanda awal penyakit nyanyuk

oleh Mohamad Hanif|
sumber: Insurance Journal
Faktor usia sememangnya merupakan antara punca dan penyebab kadar kemalangan yang semakin membimbangkan, dan kajian terbaharu yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik membuktikan tabiat pemanduan boleh mendedahkan petanda awal penyakit nyanyuk.
AION MREC Banner Campaign May 2024

Kajian LongROAD (Longitudinal Research on Aging Drivers) ini mengumpulkan data daripada hampir 3,000 orang pemandu yang berusia dalam tempoh empat tahun, dan para pengkaji menggunakan teknik pembelajaran mesin untuk mengenal pasti corak data pemanduan bagi mengesan tanda-tanda penyakit seperti gangguan kognitif ringan (MCI) dan juga nyanyuk (demensia).

Daripada jumlah tersebut, 33 orang subjek didiagnos menghidap MCI sementara 31 orang lagi menghidap demensia.

Menurut Sharon Di, ketua pengarang kajian tersebut menjelaskan, "berdasarkan pemboleh ubah daripada data pemanduan semulajadi, dan karakteristik demografik asas seperti umur, jantina, bangsa dan tahap pendidikan, kami boleh meramalkan MCI dan demensia dengan kadar ketepatan sehingga 88 peratus.

Namun berdasarkan data pemanduan semata-mata, kajian ini terbukti mengesan tanda-tanda tersebut dengan kadar ketepatan 66 peratus seperti berapa banyak perjalanan yang dilakukan dalam julat jarak 24 km dari rumah, jarak perjalanan, tempoh masa, serta beberapa insiden brek mengejut dengan kadar nyahpecutan melebihi 0.35g.
 


Ini kerana usia hanyalah salah satu faktor dalam menentukan MCI atau demensia, namun data pemanduan sememangnya satu penyumbang penting dalam mengesan kewujudan awal petanda penyakit yang disebutkan itu tadi.

Menurut para pengkaji lagi, ia masih lagi terlalu awal untuk memuktamadkan kajian ini memandangkan mereka perlu meneliti lagi perbezaan karakteristik pemanduan antara mereka yang menghidap MCI dan juga demensia.

Namun, kajian ini turut menunjukkan senario masa hadapan yang agak menarik, di mana petanda-petanda penyakit ini boleh dikesan dengan menggunakan peranti pintar, atau memasang perisian yang bersesuaian di dalam kereta bagi memantau keadaan pemandu.

"Kajian kami menunjukkan bahawa tingkah laku pemanduan semulajadi boleh digunakan sebagai satu petunjuk yang komprehensif dan boleh dipercayai bagi mengesan penyakit seperti MCI dan demensia," ujar Guohua Li, pengarang kanan kajian.

"Jika disahkan, algoritma yang dibangunkan daripada kajian ini boleh digunakan untuk pengesanan awal dan pengurusan yang berkesan bagi pemandu-pemandu yang menghidap MCI dan demensia.

Sumber: Columbia University Mailman School of Public Health menerusi NewAtlas