Syarikat subsidiari Hyundai didakwa guna buruh kanak-kanak - laporan

oleh Mohamad Hanif|
Satu laporan daripada Reuters mendakwa syarikat subsidiari Hyundai, SMART Alabama LLC menggunakan tenaga buruh kanak-kanak di dalam kilangnya.

Dakwaan itu turut disokong oleh pekerja dan bekas pekerja syarikat tersebut, penjaga kepada tiga kanak-kanak terlibat serta pihak polis tempatan.

Reuters menyedari isu eksploitasi buruh kanak-kanak apabila terdapat laporan seorang kanak-kanak migran berusia 14 tahun dipercayai hilang daripada rumahnya di Enterprise, Alabama dan berdasarkan temubual bersama keluarga mangsa, mereka mendapati kanak-kanak perempuan itu serta dua adik beradik lelaki berusia 12 dan 15 tahun tidak pergi ke sekolah dan bekerja di kilang tersebut seawal tahun 2022.

Lebih mengejutkan apabila siasatan lanjut dengan pekerja dan bekas pekerja SMART Alabama LLC mendapati lebih 50 orang pekerja bawah umur telah ditugaskan mengikut shif yang berbeza.

Undang-undang yang diamalkan di Alabama mengehadkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun daripada bekerja di kilang disebabkan risiko berdekatan dengan mesin yang berbahaya.

Kilang terbabit digunakan oleh Hyundai untuk membina komponen bagi model popular Elantra, Santa Fe dan Sonata.

Berdasarkan semakan Reuters mendapati pihak SMART Alabama LLC telah beberapa kali dikenakan penalti oleh Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) akibat pelanggaran peraturan termasuklah kemalangan dan bahaya amputasi di kilang.

Kilang yang dikatakan mampu membekalkan komponen untuk 40,000 unit kenderaan setiap tahun turut berdepan dengan masalah kekurangan tenaga pekerja untuk memenuhi permintaan Hyundai.

Sumber: Reuters

Berita Berkenaan

Berita Global
Perjanjian yang termeterai antara kumpulan teknologi VW CARIAD itu akan turut merangkumi komponen…
Berita Global
  Perjanjian itu setakat ini menjadikan syarikat yang berpangkalan di Santa Cruz, California…