Syarikat penerbangan Sarawak bakal guna bahan api lestari

oleh Penyumbang Rencana|
Abang Johari Openg
Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata syarikat penerbangan butik yang dicadangkan negeri itu akan digerakkan oleh bahan api penerbangan lestari yang dihasilkan tempatan.


Beliau berkata, bahan api penerbangan lestari boleh dianggap sebagai alternatif kepada bahan api fosil biasa dan Sarawak menyasarkan untuk menjadi pemain global dalam membekalkan bahan api lestari untuk syarikat penerbangan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Beliau juga berkata, Sarawak boleh memainkan peranan dalam menyokong pergerakan global untuk mencapai emisi karbon sifar bersih dengan pengeluaran bahan api penerbangan lestari dari kilang pengeluaran biojisim mikro alga.

“Saya mencadangkan kepada rakan kongsi di Jepun bahawa mungkin kami boleh menetapkan tahap pengeluaran biojisim mikro alga pada 6,000 tan sebulan dan pakar boleh mengira berapa banyak tanah dan karbon yang kami perlukan.

“Sudah tentu (syarikat penerbangan yang dicadangkan akan menggunakan bahan api penerbangan lestari) dan saya akan membuat pengumuman lain semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi,” katanya selepas melancarkan kemudahan Chitose Carbon Capture Central Sarawak (C4 Sarawak).

Abang Johari turut berseloroh Sarawak boleh menjadi Arab Saudi seterusnya, tetapi untuk bahan api lestari yang melalui proses yang mesra alam.

“Seterusnya kami akan menjadi pengeluar utama dan kami juga boleh menjadi seperti Arab Saudi. Arab Saudi kaya dengan bahan api fosil tetapi kami menghasilkan bahan api yang berbeza,” katanya menurut Borneo Post.

Cadangan menubuhkan syarikat penerbangan butik itu dibuat dua tahun lalu. Ketika itu, Abang Johari berkata Sarawak merancang menubuhkan syarikat penerbangan yang akan dioperasikan oleh Hornbill Skyways.

Sebelum ini, Abang Johari mempertahankan rancangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butiknya sendiri selepas cadangan itu dikritik Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang mempersoalkan kemampuan ekonominya.

Abang Johari berkata, beliau membuat kajian mengenai perkara itu dan menambah bahawa model perniagaan untuk syarikat penerbangan butik tersebut akan berbeza.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri harus campur tangan dalam pasaran untuk menstabilkan tambang penerbangan keluar dan masuk Sarawak akibat kadar tinggi ketika ini. Beliau berharap syarikat penerbangan itu akan beroperasi dalam masa tiga tahun lagi.

 

FMT