Syarikat kredit enggan kurang ansuran sewa beli, pengusaha bas tersepit

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Kebanyakan syarikat kredit yang membiayai pembelian bas tidak mahu bekerjasama untuk mengurangkan beban ansuran sewa beli kenderaan termasuk tidak menawarkan skim moratorium yang sudah ditetapkan kerajaan.


Tindakan itu sekali gus menafikan dakwaan banyak syarikat pengusaha bas enggan membuat penstrukturan semula daripada syarikat kredit, memandangkan mereka sendiri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan syarikat berkenaan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Setiausaha Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R Thiagarajan, berkata semua pengusaha bas mahu melakukan penstrukturan atau mengambil moratorium tetapi ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan syarikat kredit.

 

Katanya, ketika ini banyak syarikat kredit memutuskan bayaran bulanan berjalan seperti biasa memandangkan skim moratorium itu tidak wajib untuk diikuti.

 

"Kami menafikan banyak pengusaha bas tidak melakukan permohonan kerana syarikat kredit sebenarnya yang perlu memohon kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), seperti sudah ditetapkan kerajaan.

 

"Kami sudah bertemu syarikat kredit, namun kebanyakannya memberi maklum balas skim itu bukan sesuatu yang wajib dan jika ansuran tidak dibayar, langkah menarik aset akan tetap dilakukan," katanya kepada BH, hari ini.

 

Sebelum ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, hanya 25.23 peratus daripada lebih 1,000 syarikat pengusaha bas membuat permohonan penstrukturan semula daripada institusi perbankan dan syarikat kredit untuk mengurangkan beban ansuran sewa beli kenderaan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

 

Katanya, sebanyak 74.77 peratus lagi tidak berbuat demikian dan jumlah yang memohon masih rendah.

 

Thiagarajan berkata, ketika ini majoriti syarikat yang terbeban dengan ansuran sewa beli melakukan pinjaman dengan syarikat kredit kecil.

 

"Mereka yang memperoleh skim moratorium biasanya syarikat pengusaha bas besar yang melakukan pinjaman dengan institusi perbankan atau syarikat kredit yang besar. Biasanya mereka ini mempunyai berpuluh bas.

 

"Bagi syarikat lain yang hanya memiliki satu atau dua bas seperti bas sekolah, pasti sukar membuat pinjaman pembiayaan daripada institusi sedemikian. Pilihan mereka adalah syarikat kredit kecil," katanya.

 

Beliau berkata, SGBM sebenarnya sudah beberapa kali menerangkan perkara ini kepada pihak bertanggungjawab termasuk kementerian berkaitan, namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian.

 

"Kami bertemu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun diberitahu hanya lima syarikat peminjam kredit saja terbabit. Kami ke Kementerian Kewangan yang turut memberi jaminan tetapi masih belum temui penyelesaian.

 

"Pegawai KPDNHEP dan Kementerian Pengangkutan sendiri sudah mengambil maklumat kami, malah sudah turun bertemu SJPP," katanya.

 

Katanya, SGBM meminta kerajaan mengeluarkan kata putus untuk mewajibkan skim moratorium memandangkan banyak syarikat kredit membeli pelbagai alasan dan meminta mereka meneruskan bayaran ansuran.

 

"Kami bukan tidak mahu membayar, tetapi dengan keadaan perniagaan hari ini, bagaimana mahu melunaskan pembayaran seperti dulu," katanya.

 

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kempen yang bermula dari 8 April hingga 8 Jun 2022 ini mengenakan syarat seperti berikut: 1.…
Berita Domestik
  Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sehingga kini lebih…