Syarikat kereta Turki, TOGG perlihat prototaip SUV segmen C berkuasa elektrik

oleh Mohamad Hanif|
Seperti mana yang kita tahu sebelum ini, Turki bukanlah sebuah negara destinasi untuk kita pelajari sejarah berkenaan automotif kerana negara tersebut tidak memiliki satu jenama automotif pun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, hal ini bakal berubah sedikit masa lagi apabila syarikat kereta nasional pertama Turki, TOGG (Türkiye’nin Otomobili Girişim Grubu/Turkey's Automobile Joint Venture Group) baru-baru ini memperlihatkan sebuah model prototaip pertama - SUV Segmen C berkuasa elektrik sepenuhnya!
 


Menariknya, TOGG tidak meminta bantuan daripada mana-mana pihak, sebaliknya para jurutera di TOGG membangunkan sendiri trenkuasa elektrik yang merangkumi pek bateri dan motor elektrik yang telah dipatenkan.

SUV yang belum dinamakan ini bakal hadir dengan dua opsyen pek bateri, di mana versi asas mampu menawarkan jarak operasi sehingga 300 km manakala versi yang lebih besar boleh bergerak sehingga 483 km untuk sekali cas penuh. 
 


Sistem pengecasan pantas membolehkan SUV segmen C ini mampu mencapai kapasiti penuh bateri sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja. 

Konfigurasi pacuan pula ditawarkan dalam dua versi, iaitu pacuan roda belakang dengan 200 kuasa kuda atau versi pacuan semua roda dengan konfigurasi motor elektrik berkembar dan kuasa sehingga 400 hp. 

Walaupun tiada angka daya kilas diberikan, SUV ini mampu memecut sepantas 4.8 saat dari 0-100 km/j dengan bantuan pacuan semua roda, manakala versi pacuan roda belakang pula hanya memerlukan masa 7.6 saat untuk pecutan yang serupa. 
 


Jika diperhatian dari sudut luaran, SUV pertama TOGG memiliki reka bentuk yang amat menarik, terima kasih kepada jasa baik Pininfarina dalam menyumbangkan tenaga dalam mereka bentuk SUV ini. 

Menggunakan bunga tulip sebagai motif utama, Pininfarina berjaya menonjolkan elemen tersebut pada gril utama dan rekaan roda bagi menarik perhatian rakyat Turki. 

Dari segi pengendalian, SUV ini dipasangkan dengan sistem suspensi bebas MacPherson di hadapan dan sistem integral link di bahagian belakang memberikan perasaan pemanduan yang lebih sporti dengan pengendalian yang lebih jitu. 
 


Ruang dalaman juga cukup impresif dan luas, terima kasih kepada jarak antara roda yang panjang serta perletakan pek bateri yang rendah di bahagian lantai.

Mengikuti perkembangan semasa, kabin SUV ini menampilkan beberapa unit skrin infotainmen serta kluster meter digital yang serba lebar diikuti dengan skrin tambahan di konsol tengah yang mampu mengawal suhu, aliran udara serta beberapa tetapan tambahan.  

Harus dipuji oleh kerana ia merupakan hasil daripada sebuah syarikat yang pertama kali menghasilkan kenderaan sendiri. 
 


Platform yang digunakan oleh SUV TOGG ini mampu menyokong pemanduan autonomi sehingga ke Tahap Ketiga dan dengan ciri kemaskini over-the-air, sistem ini akan menawarkan keupayaan V2X - kebolehan untuk berkomunikasi dengan apa jua peranti di sekeliling serta sistem grid nasional. 

Namun, buat masa ini, SUV TOGG ini berupaya menawarkan sistem bantuan pemanduan termaju Tahap Kedua yang turut merangkumi ciri "Slow Traffic Pilot". 

Seperti yang kami pernah laporkan, kereta pertama Turki ini turut tampil dengan teknologi inovatif seperti sistem augmented realiti serta pengimejan holografi tiga dimensi bagi memaparkan informasi penting kepada pemandu.
 


Dengan adanya teknologi sebegini, pemandu bukan sahaja memperoleh informasi berkenaan kenderaan, akan tetapi mampu mengakses kepada sistem navigasi dan sistem bantuan pemanduan dengan lebih selamat, tanpa mengorbankan perasaan pemanduan sebenar. 

Walaupun tiada sebarang informasi lanjut, TOGG mensasarkan untuk menjadi syarikat automotif pertama yang mampu menawarkan perasaan pemanduan yang unik ini kepada para pengguna.

Untuk pasaran Turki, TOGG bakal melancarkan SUV ini pada tahun 2022 dan turut merancang untuk memperkenalkan lima buah model baharu dalam tempoh 10 tahun pertama operasi. 
 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Rekabentuk gril bertemakan bintang dan planet Zuhal beserta "cincinnya" sementara roda aloi bersaiz…
Berita Domestik
Ia datang dengan kerangka ladder frame dan trenkuasa 4X4 sejati (Suzuki AllGrip Pro 4WD), seperti…
Berita Domestik
Difahamkan, suami mangsa sedang menjalankan urusan jual beli manakala kedua-dua mangsa berada dalam…