Disebabkan ia sangat versatil, Hiace kerap kali menjadi pilihan sesetengah pihak yang mahukan sebuah kenderaan asas untuk ditukarkan menjadi sebuah campervan.
Syarikat penala Jepun, FlexDream tampil dengan idea untuk mengubah van Hiace dengan rupa paras yang lebih klasik dan retro.
Terdapat pelbagai opsyen penyesuaian yang ditawarkan, termasuklah kombinasi warna klasik, ketinggian sistem gantungan, susun atur dan kemasan trim dalaman, serta tidak ketinggalan perubahan muka hadapan bertemakan model retro.
FlexDream mendatangkan sepasang lampu berbentuk bulat dengan perumah berwarna hitam, sementara lampu membelok dan lampu posisi dialihkan ke bahagian sisi secara berasingan.
Rekaan jeriji serba baharu itu turut menampilkan perkataan TOYOTA, sementara bahagian bampar pula sengaja dibiarkan tanpa kemasan cat, diikuti dengan penambahan pada bahagian fender.
Sementara untuk model berorientasikan off-road, FlexDream menambah ciri seperti kehadiran bull bar Jaos, lampu tambahan LED ARB, serta kehadiran rak bumbung yang boleh menampung khemah bumbung dan juga penambahan bumbung awning boleh lipat.
Bergantung kepada spesifikasi dan keadaan model asal, pihak FlexDream mengenakan caj bermula dari ¥3,998,000 hingga ¥6,902,000 (RM134,959 hingga (RM232,989)