Syarikat induk Malaysia Airlines tawar skim persaraan awal

oleh SALINA JALIL|
Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan skim persaraan awal kepada pekerja manakala rundingan sedang dijalankan dengan pihak pemberi pinjaman dan pemberi pajak bagi pelan penstrukturan semula Malaysia Airlines Bhd.


Borang Permohonan Persaraan Awal MAG, yang diteliti oleh Bernama, adalah khusus untuk pekerja di seluruh syarikat itu termasuk anak syarikat Malaysia Airlines iaitu MASwings, MAB Kargo, AeroDarat Services, Firefly, Hijrah Biru dan Akademi MAB.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Langkah itu disasarkan kepada pekerja berpangkalan di Malaysia yang berusia 45 tahun dan ke atas serta telah berkhidmat dengan syarikat secara berterusan selama minimum 10 tahun, termasuk tempoh perkhidmatan dalam kumpulan Malaysia Airlines.

 

Mengulas mengenainya, Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Penerbangan Malaysia, Ismail Nasaruddin, berkata keputusan itu dianggap 'adil' memandangkan keputusan lebih berani juga diambil oleh syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan operasi keseluruhan sebelum menawarkan sebarang skim pemisahan atau pampasan.

 

Beliau berkata, tawaran itu telah dibuat dan ia kini bergantung kepada pekerja sama ada mahu mengambilnya atau tidak.

 

"MAG tidak membayar begitu banyak, tawaran berkenaan hanya bagi tiga bulan gaji.

 

"Sekiranya hasil daripada tawaran ini tidak sesuai dengan angka yang mereka harapkan, jadi, langkah lebih drastik mungkin dilaksanakan seperti pemberhentian pekerja," katanya kepada Bernama berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber dalaman MAG.

 

Ismail yakin tawaran pampasan pemberhentian pekerja itu mungkin kurang daripada yang telah ditawarkan dalam skim itu, dan kira-kira 50 peratus pekerja MAG layak untuk tawaran itu, termasuk mereka yang dipindahkan ke dalam kumpulan semasa penstrukturan semula syarikat sebelum ini.

 

Bagi Malaysia Airlines, ia masih memiliki tenaga kerja sebanyak 12,000 orang walaupun menghadapi cabaran daripada pandemik yang mengakibatkan syarikat penerbangan dan industri secara keseluruhan mengalami kesukaran susulan permintaan yang lemah.

 

 

 

-BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
MAS, Air India, Qantas Australia dan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa adalah antara syarikat…
Berita Domestik
"Saya ada memberi cadangan kepada MAS supaya penumpang terjejas perlulah diberikan sedikit layanan…
Berita Global
Data penerbangan menunjukkan MH122 dalam perjalanan dari Sydney ke Kuala Lumpur, dan berlepas dari…