Enjin itu dibangunkan khas untuk jentera Toyota GR Supra yang dikendalikan oleh Walkinshaw TWG Racing bagi pihak Toyota Gazoo Racing Australia.
Enjin tersebut sebenarnya berasaskan blok Toyota 2UR-GSE berkapasiti 4,969cc yang mula diperkenalkan pada 2007 dan banyak digunakan dalam model Lexus.
Namun, hampir keseluruhan aspek kejuruteraan telah dirombak bagi memenuhi keperluan perlumbaan Gen3.
Bagi mematuhi peraturan yang membenarkan kapasiti 5.0L hingga 5.7L, Swindon meningkatkan stroke enjin daripada 89.5 mm kepada 94 mm melalui penggunaan crankshaft baharu.
Ia menghasilkan konfigurasi “square” (bore = stroke), yang terkenal dengan keseimbangan antara kuasa dan keupayaan rev tinggi.
Peraturan perlumbaan tidak membenarkan penggunaan direct injection, jadi, enjin itu ditukar kepada sistem port injection.
Lubang injector asal pada kepala silinder ditutup, dan sistem intake baharu direka untuk menyokong injector jenis port.
Perubahan itu memerlukan ruang pembakaran direka semula untuk menyesuaikan karakter pembakaran yang berbeza, namun geometri port asal enjin masih dikekalkan kerana ia sudah sesuai untuk prestasi tinggi.
Manifold intake baharu pula memastikan aliran udara diagihkan secara sekata ke semua silinder, dengan reka bentuk akustik yang dioptimumkan mengikut lengkung tork enjin.
Menariknya, komponen intake itu dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D, teknik sama yang digunakan dalam enjin kemenangan British Touring Car Championship oleh Swindon.
Swindon turut membangunkan profil camshaft baharu menggunakan perisian simulasi dalaman, walaupun ia adalah “race cams”, reka bentuk masih perlu serasi dengan komponen rocker valve standard enjin produksi.
Sistem variable valve timing (VVT) asal juga diubah, oleh kerana ECU standard perlumbaan tidak menyokong VVT elektronik, Swindon mereka sistem hidraulik baharu untuk menggantikan fungsi tersebut.
Ia termasuk komponen seperti cam caps, penutup cam dan laluan minyak yang direka semula.
Walaupun banyak komponen baharu diperkenalkan, sebahagian besar komponen asas enjin produksi masih dikekalkan, ini bukan sahaja untuk mematuhi peraturan, tetapi juga bagi mengawal kos pembangunan.
Reka bentuk dilakukan oleh Swindon Powertrain, manakala proses pemasangan dan penyelenggaraan enjin dijalankan oleh Walkinshaw TWG Racing di fasiliti mereka berhampiran Melbourne.
Projek tersebut menunjukkan bagaimana enjin produksi boleh diubah suai secara ekstrem untuk kegunaan perlumbaan tanpa perlu membina enjin sepenuhnya dari kosong.
Gabungan teknologi moden seperti cetakan 3D, simulasi valvetrain dan kejuruteraan sistem bahan api menjadikan V8 itu bukan sekadar berkuasa, tetapi juga relevan dalam era perlumbaan moden.
Sumber: Autocar