Suzuki XL7 - crossover Ertiga dilancarkan di Indonesia

oleh Mohamad Hanif|
Suzuki XL7 bukanlah penerus kepada generasi crossover yang pernah dihasilkan oleh Suzuki suatu ketika dahulu, akan tetapi ia merupakan nama yang digunakan semula untuk model baharu yang dilancarkan di Indonesia baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menggunakan asas daripada Suzuki Ertiga generasi baharu, Suzuki XL7 (nama lainnya Suzuki XL6 di India) bakal berentap dengan model-model pesaing utama di dalam segmen LSUV seperti Toyota Rush, Daihatsu Terios, Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander Cross.
 


Dari segi dimensi, Suzuki XL7 memiliki panjang 4,450 mm, lebar 1,775 mm, dan tinggi 1,710 mm dengan jarak kelegaan tanah 200 mm, sedikit besar berbanding Suzuki Ertiga (4,395 mm x 1,735 mm, 1,690 mm).

Namun, pihak Suzuki Indonesia mendakwa radius putaran stereng XL7 lebih kecil berbanding apa yang ditawarkan oleh MPV Ertiga.

Berbanding Suzuki Ertiga, Suzuki nampaknya lebih bijak menaikkan seri sebuah crossover pada XL7, bukan sekadar meletakkan cladding plastik di sekeliling kenderaan. 
 


Seperti contoh, rekaan gril tampak lebih berani dengan elemen krom yang melintangi seakan bersambung antara lampu utama, serta perumah lampu kabus yang lebih bersegi diikuti oleh pemakaian 'underguard' perak. 

Tema agresif tersebut diteruskan di bahagian bumper belakang, dan lampu belakang ala-ala Volvo itu kekal tanpa sebarang perubahan. 

Menurut Suzuki lagi, meskipun menggunakan platform yang sama, terdapat perbezaan kira-kira 211 komponen yang digunakan pada Suzuki XL7 (berbanding Ertiga), malah talaan suspensi juga sedikit berbeza supaya diselarikan dengan imej SUV yang dibawakan.
 


Antara ciri unik yang dibawakan pada Suzuki XL7 adalah kehadiran e-mirror - cermin pandang belakang yang memiliki keupayaan rakaman dashcam dan pemantauan belakang secara langsung. 

Antara kelengkapan lain termasuklah sistem skrin sentuh bersaiz 8 inci, paparan informasi berwarna, slot kuasa pada ketiga-tiga baris tempat duduk serta sistem pendingin hawa digital. 

Dari segi keselamatan, Suzuki XL7 didatangkan dengan ciri seperti dua unit beg udara, ABS, EBD, ISOFIX, Bantuan Mula Mendaki (HHC), serta Kawalan Kestabilan Elektronik (ESP).
 


Tidak dilupakan, nadi K15B yang menjadi tunjang utama Suzuki Ertiga dan Suzuki XL7 yang mampu menjana 102.7 hp dan daya kilas maksimum 138 Nm yang masuk penuh pada 4,000 rpm, digandingkan dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat nisbah kelajuan.

Terdapat dalam tiga varian utama (Aplha, Beta dan Zeta), harga jualan di Indonesia pula bermula dari Rp230 juta (RM69,771) untuk varian Zeta (MT) sehinggalah Rp267 juta (RM80,926) bagi varian Alpha (AT).