Suzuki Swace merupakan model rebadge hampir 99 peratus daripada Toyota Corolla wagon, namun dibezakan dengan gril atas yang lebih nipis serta rekaan bumper yang diberikan nafas baharu.
Seperti model Corolla Touring, Suzuki Swace juga turut didatangkan dengan nadi 1.8 liter hibrid yang menawarkan kuasa sehingga 120 hp, dibantu dengan motor elektrik 71 hp dan pek bateri 3.6 kWh.
Bergantung kepada keadaan pemanduan, sistem hibrid ini mampu menggerakkan wagon ini menggunakan motor elektrik, atau kuasa enjin semata-mata atau kedua-duanya sekali.
Dari segi praktikaliti, wagon Swace ini mampu menawarkan ruang bermula dari 596 liter dengan tempat duduk ditegakkan, dan boleh ditambah dengan melipat rata tempat duduk baris kedua.
Penjualan Suzuki Swace akan bermula di Eropah pada musim sejuk ini, manakala spesifikasi serta harga jualan hanya akan diumumkan kelak.