Suzuki New Zealand jual trak pikap Jimny!

oleh Mohamad Hanif|
Generasi pertama dan kedua Suzuki Jimny bukan sahaja ditawarkan dalam bentuk SUV off-road yang biasa kita lihat, akan tetapi turut hadir dalam bentuk badan yang lain seperti convertible, versi lima pintu dan juga versi trak pikap.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Generasi ketiga dan seterusnya, Suzuki Jimny hanya ditawarkan dalam bentuk SUV sahaja, dan tiada langsung versi trak pikap hadir ke pasaran. 

Memandangkan kejayaan Suzuki Jimny dijelmakan dalam pelbagai jenis modifikasi rupa luaran, bagaimana pula jika Suzuki Jimny didatangkan dalam bentuk trak pikap?
 


Sebelum ini, Tokyo Auto Salon telah memperlihatkan versi konsep Jimny Sierra Pickup Style yang menampilkan rekaan retro serta kemasan kayu di sekeliling. 

Namun, untuk versi kuda kerja, salah sebuah pengedar Suzuki di New Zealand menawarkan modifikasi Jimny menjadi sebuah trak pikap sebenar, lengkap dengan jaminan!
 


Trak pikap mini tidaklah bertujuan untuk menggantikan peranan trak pikap yang biasa kita lihat, akan tetapi rupa bentuk yang ditampilkan sememangnya unik untuk disimpan di dalam garaj, dan dibawa pada hujung minggu. 

Di bahagian belakang, hilang sudah tempat duduk baris kedua dan digantikan dengan bed berdimensi agak kecil, sesuai dengan dimensi asal Jimny yang sememangnya kecil itu.

Lampu asal LED telah dibuang dan digantikan dengan lampu jenis halogen, manakala rim aloi telah digantikan dengan rim keluli berwarna hitam. 
 


Trenkuasa asal masih lagi dikekalkan peranannya yang menghasilkan 100 kuasa kuda dan 138 Nm digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan. 

Kos untuk melakukan modifikasi trak pikap Jimny ini adalah sekitar $7,300 (RM31,233) dan harga jualan pula adalah sekitar $23,000 (RM98,405) yang lengkap dengan jaminan pengeluar.