
Pengenalan Suzuki Fronx
Suzuki Fronx pertama kali dipertontonkan di dunia semasa Auto Expo 2023 di India pada Januari 2023, sebelum rasmi dilancarkan di pasaran domestik India pada April 2023. Selepas itu, Fronx mula dieksport ke pasaran antarabangsa bermula Julai 2023 termasuk Latin Amerika, Timur Tengah, dan Afrika. Malah pada Ogos 2024, Fronx menjadi SUV buatan India pertama yang dieksport ke Jepun. Kini, model ini ditawarkan di lebih 80 pasaran global termasuk Australia, Afrika Selatan, dan beberapa negara ASEAN.

Di Indonesia, Fronx ditawarkan secara rasmi pada Mei 2025 oleh PT Suzuki Indomobil Sales (SIS). Model ini diletakkan sebagai crossover segmen B dengan reka bentuk coupe-style moden dan sporty, menyasarkan pengguna muda yang mahukan gaya unik, teknologi keselamatan terkini, dan saiz praktikal untuk pemanduan bandar.

Spesifikasi Utama Fronx
-
Enjin: Petrol 1.462cc (1.5L)
-
Transmisi: Manual 5-kelajuan atau automatik 6-kelajuan
-
Tempat duduk: 5-seater dengan kabin luas dan praktikal
-
Dimensi: Panjang 3,995 mm, lebar 1,765 mm, jarak roda 2,520 mm
-
Keselamatan: Dilengkapi dengan Suzuki Safety Support (teknologi ADAS seperti Lane Departure Warning, Dual Sensor Brake Support, dan Adaptive Cruise Control untuk varian tertentu)
Varian & Harga di Indonesia
-
Fronx GL MT: Rp 259 juta
-
Fronx GL AT: Rp 271 juta
-
Fronx GX MT: Rp 276 juta
-
Fronx GX AT: Rp 293.9 juta
-
Fronx SGX AT: Rp 319.9 juta
-
Fronx SGX AT 2 Tone: Rp 321.9 juta
(Harga sekitar RM77,000 – RM96,000 mengikut kadar tukaran semasa).
Potensi untuk Malaysia
Jika benar model dalam teaser Suzuki Malaysia adalah Fronx, ia akan menjadi produk baharu pertama Suzuki Malaysia selepas kembalinya jenama ini melalui Naza Eastern Motors beberapa tahun lalu. Segmen crossover kompak kini sedang panas dengan kehadiran model seperti Perodua Ativa, Proton X50, Chery Omoda 5, Nissan Kick dan Honda WR-V.

Dengan reka bentuk coupe yang futuristik, teknologi ADAS, serta harga yang dijangka kompetitif, Fronx mampu menjadi pilihan menarik buat pembeli muda Malaysia yang mahukan SUV kompak dengan gaya berbeza.