Suzuki Kizashi, sedan dengan penanda aras BMW dan Audi

oleh Muhammad Md Tajudin|
Suzuki Kizashi
Suzuki Kizashi
Suzuki memang pakar dalam mengeluarkan kereta kecil dan kompak. Sama ada Alto, Swift atau MPV Ertiga semuanya dalam pakej kecil dan kompak.

Bagaimana pula dengan segmen lebih besar? Suzuki tidak mengabaikannya dan boleh dilihat melalui penawaran Vitara sejak sekian lama.

Walaupun begitu, Suzuki tidak mempunyai sedan seperti Accord dan Camry atau MPV sebesar Carnival dan Vellfire.

Suzuki sebenarnya pernah mencuba melalui Kizashi, sedan segmen D pertama syarikat yang pertama kali diperkenalkan di Amerika Syarikat dan Jepun pada tahun 2009.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Suzuki Kizashi

 

Kizashi adalah sedan global dan turut dilancar di pasaran tempatan pada Mac 2012 dengan harga permulaan RM147,888. 

Satu lagi varian iaitu Kizashi Sport dijual pada harga RM158,888 dengan beberapa keistimewaan seperti roda 18 inci, suspensi sport 10mm lebih rendah, kemasan krom pada bampar dan tepi kereta serta kemasan pada bahagian dalam

Dari segi saiz, Kizashi nampak seperti sedan C dan Suzuki United Kingdom memaklumkannya sebagai satu daripada sedan segmen D paling kompak.

Ukuran penuh Kizashi ialah 4,650mm panjang, 1,820mm lebar dan 1,470mm tinggi.

 

Suzuki Kizashi

 

Maksud di sebalik Kizashi

Pemilihan nama sedan ini sedap dan catchy untuk disebut. Kizashi di dalam bahasa Jepun bermaksud sesuatu yang hebat akan tiba.

Dari segi spesifikasi Kizashi sudah pun hebat dengan enjin 2.4 liter berkuasa 178hp, pacuan intelligent all-wheel-drive system (i-AWD), tujuh beg udara dan pengujian sehingga ke Nürburgring.

Idea pembangunan, penanda aras Audi dan BMW

Bagaimana Suzuki mengambil keputusan untuk memasuki segmen yang belum pernah diceburinya?

Berdasarkan petikan kata Ketua Jurutera Suzuki, selepas kejayaan Swift para jurutera Suzuki mula melihat kepada langkah pertama dalam segmen saiz sederhana premium dengan program pembangunan Kizashi.

 

Suzuki Kizashi

 

Dari awal lagi Suzuki mengambil kira bagaimana untuk menterjemahkan lima elemen utama falsafah Way of Life iaitu jelas dan mudah (straightforward), nilai, sporti, semangat dan keseronokan.

Hasilnya Suzuki mendefinisikan pembangunan Kizashi dalam bentuk sedan yang menarik dari segi emosi untuk mereka yang aktif.

Suzuki mensasarkan untuk Kizashi memberikan sesuatu menyeronokkan melalui pengalaman pemanduan dan dengan itu menjadikan model dari Audi dan BMW sebagai penanda aras.

Enjin dari Vitara

 

Suzuki Kizashi

 

Seperti yang dimaklumkan di awal artikel, Suzuki sudah pun biasa menawarkan model saiz sederhana walaupun dikenali sebagai pengeluar kereta kecil dan kompak.

Enjin 2.4 liter DOHC J24B yang digunakan Kizashi disesuaikan dari Grand Vitara.

Suzuki telah menala dan meningkatkan kuasa enjin dengan perubahan pada salur masuk angkatan injap (inlet valve lift) dan pembaikan pada bentuk port ekzos.

Perubahan tersebut telah membantu dalam menghasilkan 178 ps pada 6,500 rpm dan tork 230 Nm. 

Bergantung pada pasaran, enjin itu dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual atau CVT.

Pemanduan dan pengendalian, diuji di Nurburgring

 

Suzuki Kizashi

 

Satu cara Suzuki menjadikan Kizashi sebuah sedan yang baik dari segi pengendalian dan pemanduan lancar ialah melalui kerangka badan keluli yang tegar.

Kunci kepada ketegaran badan Kizashi datang dari sambungan (joints) dan tiang yang diperkukuh, cagak enjin dan suspensi serta bahagian bawah yang rata (straight under floor members).

Suspensi depan adalah jenis MacPherson dengan rangka suspensi jenis buaian (cradle) yang menyumbang kepada pusat graviti rendah dan dinamika pemanduan.

 

Suzuki Kizashi

 

Banyak lagi ciri kejuteraan pemanduan dan pengendalian Kizashi namun satu aspek penting ialah pengujian yang dibuat di merata tempat dengan situasi berbeza.

Ketua Jurutera memaklumkan pengujian Kizashi dibuat lebih dari ribuan kilometer di dalam cuaca sejuk di Minnesota dan cuaca panas di Death Valley.

Suzuki menajamkan pengendalian Kizashi di jalan luar bandar UK, autobahn dan Nordschleife di Nürburgring, Jerman.

Pertama dan terakhir

Kizashi sebuah sedan unik di dalam sejarah automotif moden dan  Suzuki. Sedan ini hanya bertahan satu generasi dan dikeluarkan sehingga 2016.

 

Suzuki Kizashi

 

Di pasaran tempatan, Kizashi sukar ditemui dan boleh dianggap sebagai satu simpanan yang baik buat mereka yang memilikinya.

Kepada yang tertanya, harga Kizashi sekarang ini di dalam lingkungan RM40,000 dan ke atas.

Melalui Kizashi, Suzuki berjaya menunjukkan keupayaan dalam bersaing dan jika mahu buat, mereka boleh buat dan telah membuktikannya.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit foto: Suzuki GB