Di Brazil, Suzuki baharu sahaja melancarkan model edisi terhad Jimny Sierra 4Sport, dihasilkan sebanyak 100 unit sahaja.

Berbanding Jimny standard, Jimny Sierra 4Sport merupakan Jimny versi off-road yang telah dipertingkatkan dengan kelengkapan seperti snorkel, rak bumbung untuk membawa muatan tambahan, penambahan fender lebar, poin cagak berwarna biru serta komponen rock slider.
Kesemua unit Jimny Sierra 4Sport dilayangkan dengan warna kelabu dan dihiasi dengan pelekat 4Sport dan 4x4, dan tidak ketinggalan rim aloi hitam bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar Pirelli M/T.

Ruang kabin turut dihiasi dengan aksen berwarna biru yang boleh didapati pada tombol gear, corong pendingin hawa, roda stereng serta upholsteri kulit pada tempat duduk, diikuti dengan perkataan 4Sport pada papan pemuka dan kerusi.
Terima kasih kepada penambahan snorkel itu tadi, Jimny Sierra 4Sport kini mampu meredah air sedalam 600 mm, namun sudut-sudut penting telah dikurangkan seperti sudut pendekatan 31 darjah (daripada 37 darjah), diikuti sudut pelepasan 40 darjah (daripada 49 darjah).

Dari segi kuasa, Suzuki Jimny Sierra 4Sport masih lagi mengekalkan nadi 1.5 liter NA yang mampu menjana 107 hp dan 138 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan dan sistem pacuan semua roda AllGrip Pro.
Di Brazil, harga jualan Suzuki Jimny Sierra 4Sport bermula dari R$181,990 (RM153,640), atau R$25,000 lebih mahal berbanding versi asas.