Dari segi dimensi, Suzuki Jimny masih lagi membawakan ukuran yang sama seperti versi terdahulu, kecuali penawaran rim keluli bersaiz 15 inci - sama seperti Jimny Lite untuk pasaran Australia.
Selain itu, kerangka ladder-frame dan suspensi gandar rigid 3-link juga turut dikekalkan, di mana Suzuki Jimny mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, sudut mendatang 37 darjah, sudut pelepasan 49 darjah dan sudut breakover 28 darjah.
Cuma konfigurasi tempat duduk kini ditawarkan untuk dua orang sahaja, sementara tempat duduk bahagian belakang telah dibuang menjadikan ruang kargo kini sebesar 863 liter, lengkap dengan lantai rata dan besi pengasing ruang.
Selain daripada itu, Suzuki Jimny masih lagi mendapat kelengkapan standard seperti pendingin hawa, sistem infotainmen asas dengan sambungan Bluetooth dan pemain MP3, dua pembesar suara, kawalan jelajah, pengehad kelajuan, serta ciri keselamatan seperti ABS, kawalan menurun cerun, dan sokongan brek dwi-penderia.
Unit enjin juga masih lagi dikekalkan dengan penawaran enjin 1.5 liter yang menghasilkan 101 hp dan 130 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan dan sistem 4WD AllGrip Pro yang boleh dipilih tetapannya.
Menurut kata Suzuki, Jimny komersial ini hanya boleh didapati dalam jumlah yang sangat terhad untuk pasaran UK.